top of page





KARYA AGUNG MELAYU IALAH KARYA YANG MELAMBANGKAN KEUNGGULAN DAYA CIPTA SENIMAN, PENULIS DAN PEMIKIR BANGSA MELAYU DALAM MENGGAMBARKAN IDEALISME, NILAI, PANDANGAN HIDUP, ADAT, BUDI, KESEDARAN MORAL DAN VISI BANGSA DAN MASYARAKATNYA MELALUI BENTUK SASTERA DAN SENI YANG TINGGI NILAINYA SEHINGGA KESAN SENI, BUDAYA DAN FALSAFAH KEKAL SEPANJANG ZAMAN DALAM MINDA KOLEKTIF BANGSA MELAYU.
HIKAYAT HANG TUAH
SINOPSIS HIKAYAT HANG TUAH
Hikayat Hang Tuah ini secara ringkasnya menceritakan tentang Hang Tuah yang merupakan seorang laksamana yang setia dan seorang pesilat yang handal. Bapaknya bernama Hang Mahmud dan ibunya bernama Dang Merdu Wati. Pada suatu hari, Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekui menyelamatkan Dato’ bendahara dari seorang lelaki yang mengamuk. Dato’Bendahara kagum pada mereka dan memperkerjakan mereka di istana. Di istana, mereka sangat disayangi oleh sultan, hingga akhirnya Hang Tuah diberi gelaran laksamana.Saat menemani sultan ke Majapahit, Hang Tuah berhasil membunuh Taming Sari. Taming Sari adalah pendekar yang kebal kerana kekuatan kerisnya, dan Hang Tuah berhasil merampasnya dari Taming Sari. Keri situ kemudian di anugerahkan kepada Hang Tuah oleh Betara Majapahit. Kemudian, Hang Tuah diutus ke Pahang untuk mendapatkan Tun Teja untuk permaisuri Sultan Melaka. Di Pahang Hang Tuah bertemu dengan Melor, iaitu gadis yang dicintainya waktu menuntut ilmu di Gunung Ledang.Melor ditawan oleh Tun Ali dan dijadikan gundik Sultan kerana hasutan patih Karma Vijaya. Atas muslihat Tun Ali pula, Hang Tuah dapat bertemu dengan Melor dan sultan menyaksikan hal itu. Hang Tuah dan Melor dihukum mati atas tuduhan berzina. Namun Bendahara tidak membunuhnya, malah menyembunyikannya di hutan. Di hutan, Hang Tuah menjadi wali Allah. Untuk menggantikan Hang Tuah, Hang Jebat dilantik menjadi Laksamana. Tetapi Hang Jebat derhaka pada Sultan dan mengambil alih istana kerana menyangka Hang Tuah teraniaya kerana telah dihukum mati. Sultan terpaksa berlindung di rumah Bendahara. Pada waktu itu, sultan menyesal telah membunuh Hang Tuah. Akhirnya, Bendahara memberi tahu bahawa Hang Tuah masih hidup. Hang Tuah kemudian dipanggil dan diperintahkan untuk membunuh Hang Jebat. Hang Tuah langsung menurut perintah sultan tanpa mengetahui alasan pemberontakan Hang Jebat, padahal sahabatnya itu membelanya. Hang Tuah turut menuruti perintah sultan yang sudah menghukumnya tanpa alasan. Akhirnya, Hang Jevat tewas di tangan Hang Tuah.
NILAI BUDAYA DALAM HIKAYAT HANG TUAH
a. Nilai hubungan manusia dengan alam
1. Pemanfaatan sumber daya alam
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, alam merupakan kesatuan kehidupan manusia di mana pun ia berada. Jadi, alam harus dijaga, dimanfaatkan, dilestarikan dan digunakan bersama untuk kesejahteraan. Hal ini dapat dilihat daripada kutipan berikut :
Maka kata laksamana, ‘’baiklah, hamba singgah naik hendak melihat kekayaan Allah subhanahuwataala di dalam negeri ini, kerana dikabarkan orang terlalu besar kekayaannya daripada segala negeri di bawah angin.’’
Dari kutipan tersebut, dapat dilihat bahawa laksamana sangat mengagumi dan mencintai alam ciptaan sang pencipta. Hal ini dapat dilihat dari laksamana yang singgah dan melihat karya kebesaran tuhan.
b. Nilai Hubungan manusia dengan orang lain
1. Tolong menolong
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tolong menolong membawa maksud kerja yang dibuat secara bersama-sama. Nilai budaya suka tolong menolong ini merupakan suatu sikap yang dianggap baik. Suka menolong ini terjadi kerana hubungan antara sesama manusia yang terjalin dengan baik. Di dalam diri manusia yang menolong akan muncul rasa belas kasihan dan keadaan ini pula yang telah menimbulkan keinginana seseorang untuk menolong orang lain. Hal ini dapat dilihat melalui kutipan berikut :
Maka kata Hang Tuah, ‘’Janganlah penghulu bersusah hati, sekadar dengan sebuah perahu hamba pun padalah dengan pertolongan Allah serta dengan berkat penghulu-penghulu, dapat hamba kelima bersaudara ini mengalahkan perahu musuh ketiga buah itu.
Dari kutipan tersebut dapat dilihat nilai tolong menolong dari penghulu yang meminjamkan perahunya kepada Hang Tuah untuk pergi belayar bersama keempat saudaranya. Ia tidak dapat membalas kebaikan penghulu tersebut maka Hang Tuah memohon agar Allah yang membalas kebaikan penghulu itu.
2. Nasihat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, nasihat merupakan ajaran atau pengajaran yang baik, petunjuk, teguran, dan peringatan yang baik. Hal ini dapat dilihat dari kutipan yang berikut :
Maka dipeluk dicium oleh bunda baginda dan ditangisinya serta berkata, ‘’Hai anakku dan buah hatiku. Adapun engkau di atas kerajaan itu, baik-baik memeliharakan segala rakyat dan terlebih perikaimu akan segala tenteramu dan jangan engkau takabur dan riak, kerana ingat negeri dunia ini tidak akan kekal, melainkan nama yang baik itu juga menjadi bekal ke akhirat. Jika sudah mati sekali pun, nama nenek moyang dan nama kamu pun disebut orang pada segala negeri yang lain.
Dari kutipan tersebut dapat dilihat nilai nasihat yang tergambar daripada tokoh. Hal ini dapat dilihat daripada sikap orang tua yang memberikan nasihat agar anaknya dapat menjalankan dan melakukan tugas yang diberikan dengan baik dan tidak takabur serta riak kerana semua yang diperolehi sekarang sifatnya tidak kekal.
3. Kasih sayang
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kasih sayang adalah perasaan yang lahir daripada seseorang yang diberikan kepada orang lain. Hal ini dapat dilihat dari kutipan berikut :
Syahdan maka sang pertala dewa pun bertitah kepada isterinya itu. ‘’Adinda jikalau ada kasih adinda akan kakanda, kerana kakanda pun sudah berputra dengan adinda, mahukah adinda mengikut kembali ke indraan, kenegeri kakanda? Maka sembah tuan putri. ‘’jangankan kembali ke indraan, jika ke laut sekalipun patik ikut juga.
Dari kutipan tersebut dapat dilihat nilai cinta dan kasih sayang antara pasangan suami isteri. Di dalam kutipan ini nilai cinta dan kasih sayang terdapat pada sang suami yang ingin mengajak sang isteri untuk berpindah rumah. Maka kerana kasih dan cinta sang isteri terhadap sang suami, sang isteri pun bersetuju dengan cadangan sang suami itu.
Maka Sang Petala Dewa dan permaisuri pun memeluk cium anakanda. Maka Sang Purba pun membawa ayahanda baginda masuk ke dalam. Maka didudukkan di atas singahsana yang bertakhtakan ratna mutu manikam dan berumbaikan mutiara. Setelah sudah duduk, maka tuan putri pun disuruh oleh Sang Purba menyembah ayah bundanya. Maka dipeluk dicium oleh ayahanda bunda baginda akan menantunya itu.
Dari kutipan tersebut tergambar nilai kasih sayang yang diberikan dan dicurahkan oleh seorang anak kepada orang tuanya iaitu seorang anak yang memberikan jamuan yang terbaik kepada orang tuanya ketika mereka berkunjung ke rumah sang anak. Dari kutipan tersebut juga dapat dilihat kasih sayang ibu bapanya kepada anaknya yang mana pernyataan ini tergambar apabila orang tuanya memeluk dan mencium si anak. Jadi, jelas dari situ, kita dapat lihat sebuah bentuk kasih sayang orang tua kepada anaknya.
Maka segala pegawai dan pertuanan pun terlalu kasih akan raja muda, sediakala datang menghadap raja dan sediakala makan minum dengan bersuka-sukaan dengan segala bunyi-bunyian.
Dari kutipan tersebut tergambar kasih sayang pegawai dan pertuanan tersebut kepada raja muda sehinggakan mereka kerap datang untuk menghadap raja muda serta menyediakan makan minum sambil berseronok bersama raja muda. Jadi, daripada ini jelas menunjukkan kasih sayang pekerja kepada tuannya.
4. Ikhlas
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, keikhlasan membawa maksud melakukan sesuatu dengan hati yang tulus tanpa mengharapkan balasan dari orang lain. Keikhlasan adalah sikap yang sangat terpuji kerana melakukan sesuatu tanpa mengharapkan apa-apa balasan pun. Hal ini dapat dilihat dari kutipan berikut :
Maka sahut sekalian mereka itu, ‘’walhal, wabillahi demi Allah, yang menjadikan hamba, dengan tulus ikhlas hamba sekalian memberikan orang kaya.
Dari kutipan tersebut, dapat dilihat gambaran seorang hamba yang rela dan tulus hatinya untuk memberikan kekayaan yang dimilikinya.
5. Musyawarah
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, musyawarah membawa maksud perundingan dengan pihak-pihak lain untuk menyelesaikan masalah atau mencapai persetujuan. Dalam bermusyawarah antara sesebuah masyarakat dengan masyarakat yang lain perlu mempunyai permuafakatan supaya sesebuah masyarakat itu tidak berpecah belah. Bermusyawarah bukan bermaksud menghilangkan hak seseorang atau sekelompok masyarakat yang kecil, tetapi memberikan kesempatan kepada seseorang untuk menyampaikan gagasan atau pendapatnya. Hal ini dapat dilihat dari kutipan berikut :
Setelah mereka mendengar khabar demikian itu, maka segala orang besar-besar di Singapura dan di Bintan, sekaliannya pun berhimpun dan bermusyawarahlah. Maka kata segala mereka itu, ‘’pada bicara hamba, baik juga tuan-tuan sekalian pergi ke Bukit Seguntang, menghadap baginda itu.
Dari kutipan tersebut, dapat dilihat nilai musyawarah yang dapat memberikan gambaran kepada kita bahawa orang-orang besar yang berada di Singapura dan Bintan bersetuju bermusyawarah untuk mendapatkan kesepakatan pergi ke Bukit Seguntang.
Maka orang besar itu pun bermusyawarahlah akan merajakan sang manika. Maka pada ketika yang baik, maka Sang Manika pun memakai pakaian kerajaan dan mahkota di Bukit Segantang itu pun dipakai oleh baginda.
Dari kutipan tersebut dapat dilihat nilai musyawarah yang ditonjolkan oleh para tokoh yang selalu bermusyawarah dalam mengambil keputusan yang digunakan untuk mencapai sesuatu tujuan yang diinginkan. Hal ini dapat dilihat dari musyawarah yang diadakan untuk mengangkah seorang raja Manika.
c. Nilai Hubungan manusia dengan diri sendiri
1. Rendah hati
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, rendah hati membawa maksud tidak angkuh. Sikap rendah hati adalah sikap yang tidak menyombongkan diri atau menonjolkan diri dalam pergaulan yang menunjukkan bahawa dirinya memiliki kelebihan atau kemampuan tertentu. Kelebihan dan kemampuan itu antara lain berupa kepandaian, kedudukan atau status dalam masyarakat. Hal ini dapat dilihat dari kutipan berikut :
Maka Nala Sanguna pun kasih mesra akan laksamana, kerana melihat laksamana berkata-kata itu manis mulutnya serta dengan fasih lidahnya dan merdu suaranya dan sangat merendahkan dirinya.
Dari kutipan tersebut, dapat dilihat nilai rendah hati yang tergambar dari sikap seorang tokoh. Hal ini dapat dilihat dari sikap laksamana yang selalu merendahkan dirinya dalam kehidupan.
2. Berani
Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan berani sebagai orang yang gagah memperjuangkan sesuatu. Hal ini dapat dilihat dari kutipan berikut :
‘’Hai Patih Gajah Mada, adapun kulihat laksamana itu bukan barang-barang orang dan bukan barang-barang hulubalang dengan beraninya dan bijaksana, syahdan tuannya pada ilmu firasat dan ilmu penjurit; dan tahu pada bermain senjata jangan dikata lagi, sukarlah kita mengenai.’’
Daripada petikan di atas jelas menggambarkan Hang Tuah seorang tokoh yang berani keberanian Hang Tuah jelas terlihat ketika beliau berada di Majapahit. Hang Tuah sentiasa berwaspada dan beringat-ingat dengan tindakan beliau ketika menentang musuh-musuh yang cuba menentangnya. Keberanian Hang Tuah mendapat perhatian daripada Betara Majapahit.
KESIMPULAN
Hikayat Hang Tuah ialah karya sastera yang tak lekang dek panas, dan tak lapuk dek hujan. Nilai utama yang menjadi tema Hikayat Hang Tuah ialah berani, rasional, taat setia, baik hati dan pemurah. Nilai-nilai ini dapat melahirkan insan yang unggul demi merialisasikan misi nasional Negara. Sejajar dengan itu, nilai-nilai yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ini juga telah diajar di sekolah-sekolah untuk membentuk generasi muda yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka.Jadi, hasil penelitian tentang nilai-nilai budaya yang terkandung dalam Hikayat Hang Tuah ini sememangnya amat berguna kepada pembaca. Hikayat Hang Tuah menyalurkan bagi menanamkan rasa taat setia rakyat terhadap raja dan Negara serta menggalakkan rakyat berasa bangga terhadap negaranya. Hikayat Hang Tuah ini juga sangat bagus kepada pembaca kerana di dalamnya ada menceritakan mengenai kehebatan Hang Tuah sebagai seorang pahlawan yang gagah perkasa dan kepahlawanan Hang Tuah ini boleh menjadi inspirasi dan semangat perjuangan kepada bangsa Melayu. Hikayat Hang Tuah juga menjadi sebuah teks pahlawan bangsa yang menjadi kebanggan bangsa melayu. Kata-kata Hang Tuah, ‘Takkan Melayu hilang di dunia’ masih menjadi slogan yang keramat dalam meniupkan semangat perjuangan orang Melayu.

bottom of page