




KARYA AGUNG MELAYU IALAH KARYA YANG MELAMBANGKAN KEUNGGULAN DAYA CIPTA SENIMAN, PENULIS DAN PEMIKIR BANGSA MELAYU DALAM MENGGAMBARKAN IDEALISME, NILAI, PANDANGAN HIDUP, ADAT, BUDI, KESEDARAN MORAL DAN VISI BANGSA DAN MASYARAKATNYA MELALUI BENTUK SASTERA DAN SENI YANG TINGGI NILAINYA SEHINGGA KESAN SENI, BUDAYA DAN FALSAFAH KEKAL SEPANJANG ZAMAN DALAM MINDA KOLEKTIF BANGSA MELAYU.
PRINSIP KESEMPURNAAN BERBAHASA DALAM HIKAYAT SULALAT AL-SALATIN
PENGENALAN
Sulalat al-Salatin Sejarah Melayu merupakan satu karya sejarah berkaitan kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu. Ketika Feringgi (Portugis) menakluk Melaka, salinan Sejarah Melayu telah dibawa ke Goa. Sejarah Melayu ditulis di Melaka dan dibawa bersama semasa Sultan Mahmud Syah berundur dari Melaka pada tahun 1511. Naskhah asal ini kemudian dibawa ke Johor dari Kampar pada tahun 1528. Portugis merampas naskhah Sejarah Melayu pada tahun 1536 semasa menyerang Johor Lama. Naskhah ini kemudian dibawa balik ke Johor oleh Orang Kaya Suguh.
Terdapat perselisihan pendapat berkenaan Goa. Pendapat pertama merujuk kepada Goa yang terdapat di India, manakala pendapat kedua merujuk pada sebuah tempat bernama Gowa yang terletak di Sulawesi. Lihat perbezaan ejaan keduanya. Pendapat yang kedua ternyata lebih kuat atas alasan sekiranya Portugis mengambil salinan Sejarah Melayu dan dibawa ke Goa, India, pastinya Sejarah Melayu akan dibawa terus ke Eropah sebagai harta rampasan. Terdapat sekurang-kurangnya 29 versi tetapi versi yang paling mashyur adalah versi Shellabear. Menurut pengenalan Sejarah Melayu naskhah Shellabear, Yang di Pertuan Raja di Hilir Sultan Abdullah Mu’ayat Syah ibni’l Sultan Abdul Jalil Syah telah mengutuskan Seri Nara Wangsa Tun Bambang untuk memerintah Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad @ Mahmud (Tun Sri Lanang) pada hari Khamis, 12 Rabiul Awal 1021 bersamaan 13 Mei 1612 agar menyunting salinan Sejarah Melayu yang dibawa oleh Orang Kaya Sogoh dari Goa/Gowa. Ketika itu Sultan Johor Lama, Sultan Alauddin Riayat Syah ibni Sultan Abdul Jalil Syah telah ditahan di Istana Raja Acheh, Raja Iskandar Muda. Sejarah Sulalat al-Salatin dianggap penting kerana ia memberikan adat istiadat kerajaan, susunan raja Melayu dan sejarah kerajaan Melayu dan boleh dikatakan menyerupai konsep sejarah sahih China, di mana pada setiap pertukaran Dinasti di China, sejarah Dinasti sebelumnya akan ditulis dan disimpan di arkib negara tersebut.
PENGARANG SULALAT AL-SALATIN: TUN SERI LANANG
Tun Sri Lanang merupakan timang-timangan yang diberikan kepada Tun Muhammad, anak Tun Ahmad Paduka Raja yang merupakan seorang Bendahara Kerajaan Johor pada kurun ke-17 Masihi. Beliau telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Batu Sawar, Johor pada tahun 1565. Beliau adalah Bendahara Johor pada ketika itu dan setelah Johor kalah dalam peperangan dengan Aceh yang pada ketika itu diperintah oleh Sultan Iskandar Muda Aceh. Beliau kemudiannya telah dibawa ke Aceh pada tahun 1613 dan telah menetap di negeri Samalanga. Sultan Iskandar Muda telah melantik beliau sebagai penasihat utama Baginda dan diberi gelaran ‘Orang Kaya Datuk Bendahara Seri Paduka Tun Seberang’. Beliau telah mendirikan pusat penyebaran agama Islam dan pendidikan terutamanya di negeri-negeri pesisir timur Aceh. Beliau kemudiannya telah di angkat menjadi raja di negeri Samalanga pada tahun 1615. Beliau telah mangkat pada tahun 1659 di Lancok dan telah dimakamkan di sana.
Tun Sri Lanang sangat dikenali oleh kerana karyanya iaitu Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu) yang merangkumi pelbagai sejarah masyarakat Melayu, Jawa, Brunei, Patani dan Campa. Kebenaran tentang beliau sebagai penulis asal atau sekadar penyunting kitab tersebut tidak dapat dipastikan dengan tepat. Namun menurut Syeikh Nuruddin al-Raniri, ulama dan penasihat agama Sultan Aceh, telah memperakukan Tun Sri Lanang sebagai pengarang dan penyusun Sulalat al-Salatin kerana beliau kenal rapat dengan Tun Sri Lanang. Kitab tersebut telah dapat disiapkan penulisan dan disunting oleh Tun Sri Lanang dalam masa dua tahun iaitu pada tahun 1614 selepas tarikh penulisannya yang dimulai pada tahun 1612 Masihi. Sulalat al-Salatin adalah diperakui sebagai satu sumber terkaya dan lengkap yang menceritakan tentang sejarah bangsa-bangsa di Nusantara. Tun Sri Lanang telah menghasilkan sebanyak 15 bab dalam Sulalat al-Salatin ini. Dalam setiap bab, dipecahkan pula kepada beberapa bab-bab kecil mengikut kesesuaian penulisannya.
PERINCIAN SINOPSIS SULALAT AL-SALATIN
Raja Iskandar Zulkarnain dari Makaduniah berperang dengan Raja Kida Hindi dan kemudian berkahwin dengan Puteri Syahrul Bariah. Raja Suran turun ke Dika dan berkahwin dengan Puteri Mahtabul Bahri. Hasil perkahwinan itu, mereka mendapat tiga orang putera iaitu Nila Pahlawan, Krisyna Pandita dan Nila Utama. Kesemua anak-anak Raja Suran menjadi raja di negeri masing-masing. Nila Utama menggunakan nama Seri Teri Buana semasa menjadi raja dan mahu berkahwin dengan puteri Demang Lebar Daun dan diadakan waad di antara mereka. Seri Teri Buana gemar mengembara sehinggalah berjumpa dengan Singapura.
Badang merupakan seorang hamba yang beroleh gagah setelah memakan muntah hantu dan akhirnya dimerdekakan oleh tuannya. Merah Silu dan Merah Caga merupakan dua bersaudara. Merah Silu menahan lukah dan mendapat cacing gelang yang apabila direbus bertukar menjadi emas. Merah Caga ingin membunuh saudaranya itu kerana merebus cacing tersebut dan akhirnya Merah Silu melarikan diri sehinggalah bertemu dengan sebuah tempat yang diberikan nama Semundera. Tuan Jana Khatib datang ke Singapura dan menunjukkan kepandaiannya menilik sepohon batang pinanh di hadapan istana raja sehingga membuatkan raja murka lalu membunuhnya.
Sultan Muzaffar Syah menceraikan isterinya untuk diberikan kepada Seri Nara Diraja atas tujuan mendamaikan Melaka dan kemudian berkahwin dengan Puteri Raden Galuh Cendera Kirana. Hang Tuah difitnah bermukah dengan dayang raja dan dihukum bunuh. Orang-orang Melaka yang diketuai Tun Perpatih Putih dapat melihat wajah raja China setelah memakan kangkung yang dibelah tanpa dikerat. Tun Muhammad membunuh Tun Besar kerana sepak raga terkena destar Tun Muhammad. Sultan Mansur Syah merajakan Tun Muhammad di Pahang. Raja Cempa menjumpai seorang budak dalam mayang pinang dan diberi nama Pau Gelang. Raja Haru mengamuk di Pasai setelah surat yang bertulis “salam” disebut “sembah”. Selepas Telanai Terengganu pulang, Sultan Muhammad menitahkan Seri Akar Raja membunuh Telanai itu. Sultan Muhammad Syah mengganggu isteri
Tun Biajid dan hampir-hampir dibunuh oleh Tun Biajid. Seri Wak Raja ingin membunuh Tun Isap tetapi Sultan Mahmud menyuruh Tun Isap melarikan diri. Bendahara Putih mati dan digantikan dengan Bendahara Seri Mahara Tun Mutahir. Sultan Mahmud menitahkan pembesar untuk meminang Puteri Gunung Ledang dan muncul seorang tua memberitahu syarat-syaratnya. Setelah Seri Wak Raja pulang dan memberitahu tentang kecantikan Tun Teja, Sultan Mahmud mahukan Tun Teja meskipun ketika itu menjadi tunangan orang. Hang Nadim berjaya melarikan Tun Teja. Laksamana Khoja Hasanpergi ke Pahang dan berjaya melarikan gajah Ai Kening. Sultan Mahmud Raja Zainal dibunuh dan tugas ini disempurnakan oleh Hang Berkat. Raja Legor ingin menyerang Pahang atas suruhan Raja Siam.
Tun Perpatih Hitam dan Tun Hussain dibunuh kerana bersikap biadap di hadapan raja. Maulana Sadar Jahan datang ke Melaka dan Sultan Mahmud telah berguru dengan beliau. Bendahara Seri Maharaja telah mengahwinkan anaknya dengan Tun Ali. Nina Sura Dewana memberi rasuah kepada Bendahara Seri Maharaja dan ini telah dilihat oleh Si Kitul. Si Kitul membuat fitnah bahawa Bendahara Seri Maharaja mahu membunuh Raja Mendaliar. Peringgi telah menyerang Melaka di bawah pimpinan Alfonso d'Albuquerque tetapi serangan kali pertama gagal. Berlaku pertempuran hebat antara tentera Peringgi dengan orang-orang Melaka. Peringgi menyerang Bintan dan Sultan Mahmud terpaksa berundur hingga ke Kampar.
Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah ditabalkan menjadi raja selepas kemangkatan Sultan Mahmud Syah dan baginda meninggalkan Kampar menuju ke Pahang dan berkahwin dengan Raja Kesuma Dewi, anak Sultan Mansur Syah. Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah membuka sebuah negeri di Kuala Johor. Raja Omar, iaitu cucu Sultan Mansur Syah di Pahang berkahwin dengan Raja Fatimah, anak Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah. Sultan Muzzafar Syah menggantikan Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah yang mangkat dan baginda membuka sebuah negeri bernama Seluyut. Raja Omar menceraikan isteri pertamanya setelah Raja Fatimah hamil. Sultan Muzaffar Syah pula jatuh hati dan berkahwin dengan bonda Raja Mansur. Kemangkatan Sultan Muzaffar digantikan oleh Sultan Abdul Jalil Syah.
Prinsip kesempurnaan berbahasa dalam Hikayat Sulalat al-Salatin
Berbahasa mengikut nahu
Prinsip kesempurnaan berbahasa yang pertama dalam Hikayat Sulalat al-Salatin ialah berbahasa mengikut nahu. Nahu atau tatabahasa merujuk kepada sistem atau susunan sesuatu bahasa. Berbahasa mengikut nahu merupakan prinsip pertama yang diketengahkan oleh Teori Falsafah Bahasa. Prinsip ini menegaskan betapa pentingnya kita berbahasa dengan betul mengikut nahunya. Proses komunikasi atau berbahasa perlu mengikut nahunya agar maklumat yang ingin disampaikan itu mencapai objektifnya.
Bahasa juga terdiri daripada sistem bunyi, sistem makna dan juga sistem tatabahasa. Bahasa yang digunakan dalam pertuturan dan juga penulisan sememangnya terikat dengan sistem tatabahasanya. Dalam sistem tatabahasa mahupun nahu, setiap perkataan perlu disusun dalam bentuk ayat yang sempurna dan memberi makna sebelum diucapkan ataupun ditulis.
Selain itu, penggunaan perkataan yang difahami umum (denotatif) juga amat penting agar pendengar dapat mentafsir makna dengan tepat. Penggunaan bahasa yang baik dan jelas akan meningkatkan keberkesanan pentafsiran makna oleh pendengar. Oleh itu, jika kita berbahasa dengan menggunakan bahasa yang betul mengikut nahunya, mesej yang hendak disampaikan kepada individu lain akan dapat disampaikan dengan sempurna dan jelas. Perkongsian makna juga amat penting dalam berbahasa. Setiap individu khususnya pendengar perlu mempunyai pengetahuan untuk memahami mesej yang hendak disampaikan oleh penutur apabila sesuatu proses komunikasi lisan berlaku. Perkongsian di sini bermaksud perkongsian makna terhadap sesuatu isyarat yang ingin digunakan oleh penutur dan juga pendengar dalam suatu proses komunikasi.
Sesuatu isyarat, maklumat mahupun bahasa mungkin memberi makna yang berbeza antara penutur dengan pendengar. Sulalat al-Salatin merupakan naskhah tulis tangan yang ditulis pada kertas menggunakan abjad jawi. Karya ini kemungkinan pertama kali ditulis sekitar abad ke-16. Dalam Sulalat al-Salatin ada diceritakan bingkisan kiriman Batara Majapahit yang digambarkan nipisnya seperti kertas. Kemudian disebutkan juga kisah Hang Nadim berkunjung ke India dan memesan kain sebagaimana sketsa yang ditulis sebelumnya di kertas. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat pada kawasan Melayu telah mengenal penggunaan kertas sebagai alat tulis dalam kehidupannya.
Penggunaan nahu yang sempurna bermaksud penggunaan kata atau perkataan dan ayat yang betul dalam proses berbahasa. Nyanyian dalam karya Sulalat al-Salatin memperlihatkan penggunaan bahasa yang sangat halus untuk menggambarkan sesuatu perkara. Perkara ini dapat dilihat melalui nyanyian Kapitan Melaka iaitu :
Dihela-hela diretak sehasta
Kandis dipenggalkan
Alangkah gila Raja Kecil
Menggusta manis ditinggalkan
Melihat buah hartal masak.
(Muhammad Haji Salleh, 1997:217)
Selain itu, dalam Sulalat al-Salatin, Tun Sri Lanang menggunakan gaya bahasa yang indah untuk memerikan sesuatu hal. Malah, puisi-puisi lama turut diselitkan untuk menggambarkan sesuatu cerita dan peristiwa. Penyisipan unsur-unsur seperti ini sedikit sebanyak dapat mengindahkan bahasa tersebut supaya kelihatan lebih seni dan menarik. Sulalat al-Salatin turut menggunakan bahasa Melayu klasik. Buktinya, ia menggunakan ayat yang panjang dan banyak menggunakan kata pangkal ayat serta istilah-istilah klasik.
Sebagai contoh aspek nahu dalam bidang sintaksis. Sintaksis ialah cabang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Sintaksis bukan sahaja mengkaji proses pembinaan ayat tetapi juga hokum-hukum yang menentukan bagaimana perkataan disusun dalam ayat. Ia menghubungkan klausa yang menjadi komplemen atau pelengkap pada klausa utama. Contoh kata komplemen yang selalu digunakan ialah bahawa. Contoh ayat :
‘’ Ya tuanku, jangan apalah hati patik sekalian duli tuanku perbinasakan dengan titah yang demikian itu; bahawa patik sekalian ini adalah berkaul…’’
(Sulalat al-Salatin, halaman 170)
Bagi aspek nahu dalam bidang morfologi iaitu menurut Nik Safiah Karim et.al dalam buku Tatabahasa Dewan (2004), morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur , bentuk dan penggolongan kata. Dengan struktur kata dimaksudkan susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang yang turut menjadi unit bahasa yang bermakna.
Personifikasi adalah memberi watak manusia kepada yang bukan manusia. Misalnya, daun kelapa yang disifatkan sebagai manusia yang boleh melambai, menggamit, bersiul dan sebagainya. Lalu ditulis sebagai “daun nyiur melambai-lambai”, “ daun kelapa menggamit manja” dan sebagainya. Contoh personifikasi yang ada dalam Sulalat al-Salatin adalah seperti berikut:
“Rupa tunggul panji-panji seperti awan berarak; rupa payung segala raja-raja dan catria.”
(Sulalat al-Salatin - halaman 33)
Maksud: awan berarak: “Awan” adalah unsur alam yang diberi perlakuan manusia iaitu “berarak” yang bererti berjalan beramai-ramai dan beriring-iring.
“Empat buah perahu itulah yang tiada bercerai dengan kenaikan baginda.”
(Sulalat al-Salatin – halaman 39)
Maksud: perahu bercerai: “perahu” adalah benda yang diberi perlakuan manusia iaitu “bercerai” yang bererti berpecah atau berpisah.
Berbahasa untuk menyampaikan maklumat yang sebenar
Seterusnya, prinsip berbahasa yang kedua ialah berbahasa untuk menyampaikan maklumat yang sebenar. Setiap maklumat yang disampaikan tidak hanya berlandaskan kepada kepercayaan dan emosi semata-mata. Seseorang itu hendaklah menyampaikan berlandaskan maklumat yang tepat, sahih dan boleh dipercayai. Mohd Rashid Md Idris (2012:70) menjelaskan bahawa firman Allah S.W.T yang dipetik oleh beliau yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar.”
(Surah Al-Ahzab 33:70)
Sesuatu maklumat yang disampaikan tidak hanya berlandaskan kepada kepercayaan dan emosi semata-mata. Oleh yang demikian, seseorang itu hendaklah menyampaikan maklumat berlandaskan penaakulan yang tepat, sahih dan boleh dipercayai. Hal yang demikian bertujuan untuk mengelakkan maklumat tersebut tidak bercanggah dengan fakta sebenar selain menghindarkan diri dari melakukan fitnah.
Dalam agama Islam, setiap umat Islam diajar supaya mengkaji atau menyelidik terlebih dahulu maklumat yang diterima sebelum disampaikan dan tersebar dalam kalangan masyarakat. Perkara ini mengehendaki seseorang itu untuk menggunakan perkataan yang tepat, jelas dan mudah difahami oleh orang lain. Karya sastera merupakan sebuah karya yang dicipta atau dilahirkan daripada sebuah pembentukan realiti yang diolah menjadi realiti yang mungkin dapat dipercayai atau sebaliknya. Pengolah berlaku ketika proses penyalinan karya, ada cerita yang ditokok tambah dengan tujuan tertentu oleh penyalin sesebuah karya.
Terdapat beberapa cara untuk menyampaikan maklumat, iaitu secara lisan dan tulisan. Karya agung Melayu menyampaikan maklumat-maklumatnya melalui sistem tulisan yang wujud pada zaman penghasilan sesebuah karya itu. Pengaruh tulisan sangat besar dalam menghasilkan karya. Misalnya, Sulalat al-Salatin atau Sejarah Melayu yang merupakan sebuah karya agung Melayu yang ditulis atas titah raja, iaitu:
“Demikian bunyinya tita(h) Yang Maha Mulia itu, “Bahawa hamba minta’ diperbuatkan hikayat pada Bendahara perteturun segala raja-raja Melayu dengan isti’adatnya, supaya didengar oleh anak cucu kita yang kemudian dari kita dan diketahuinyalah segala perkataan, syahadan beroleh fa’edahlah mereka itu daripadanya”.
(Sulalat Al-Salatin, 1997: 3-4)
Dalam Sulalat Al-Salatin, pengarang banyak menceritakan atau memberikan maklumat tentang cara penulisan karya klasik, cara kedatangan Islam, iaitu di Samudera dan Melaka, penonjolan tokoh-tokoh dan ulama-ulama Islam, adat istiadat Melayu dan perundangan. Jika diamati unsur-unsur tersebut, ia merupakan maklumat yang ingin disampaikan kepada kita. Maklumat tersebut disampaikan melalui catatan pada buku dan buku itu kini dikategorikan sebagai karya klasik atau karya agung. Penghasilan karya agung Sejarah Melayu atau Sulalat Al-Salatin ini menggunakan unsur-unsur Islam yang dapat dilihat pada permulaan hikayat, iaitu menerusi teknik penulisannya. Mukadimah Sulalat Al-Salatin dimulai dengan kata “Bismillahhiramanirahim” dan dalam mukadimah ini turut disertakan ayat-ayat suci al-Quran dan diikuti dengan terjemahan dalam bahasa Melayu. Misalnya,
“Bismillahhirahmanirahim… Masailah. Sudah memuji Allah dan mengucap salawat akan Rasulullah, sallallahu ‘alaihi wasallam, syahadan rahmat Allah atasnya dan atas segala sahabatnya sekalian”.
(Sulalat Al-Salatin, 1997: 2)
Merujuk kepada petikan di atas, struktur penulisan seperti itu merupakan teknik biasa yang digunakan dalam karya-karya Arab Parsi. Permulaan karya menggunakan puji-pujian ke atas Allah dan pengakhiran karya, pengarang akan menggunakan ayat “Wa’llahu a’lamu bi’s-sawab, wa illaihi’Imarji’u wa’ I-ma’ab. Oleh itu, daripada penggunaan struktur penulisan ini, mendapati bahawa karya Sulalat Al-Salatin ialah karya yang ditulis berdasarkan unsur-unsur keislaman. Sekiranya tiada penulisan mukadimah menggunakan puji-pujian ke atas Allah dan Rasul, maka kita tidak dapat mengetahui maklumat bahawa karya ini menggunakan unsur Islam.
Sulalat al-Salatin juga menceritakan tentang kedatangan Islam di Samudera dan Melaka. Hal ini memperlihatkan unsur-unsur Islam dalam Sulalat Salatin. Pengislaman Raja Pasai telah disebut dalam Sulalat Al-Salatin dalam bab keempat. Seseorang penulis karya seperti karangan Tun Seri Lanang ini, beliau akan menyampaikan maklumat yang sebenar. Misalnya, cara Islam mula tersebar di Pasai ialah dengan pengislaman rajanya, iaitu Marah Silu. Berikut merupakan petikan yang dipetik dalam Sejarah Melayu;
“Maka sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pada Marah Silu, “Hai Marah Silu, ngangakan olehmu mulutmu.” Maka dingangakan oleh Marah Silu mulutnya. Maka diludah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam mulut Marah Silu. Maka Marah Silu pun terjaga daripada tidurnya. Maka diciumnya bau tubuhnya seperti narwastu. Setelah hari siang maka fakir pun naik ke darat membawa Qur’an. Maka disuruhnya baca pada Marah Silu Maka oleh Marah Silu dibacanya Qur’an itu."
(Sulalat Al-Salatin, 1997: 45-46)
Bukti yang boleh dikaitkan dengan kesahihan cerita pengislaman raja Pasai adalah dengan merujuk Hikayat Raja-raja Pasai. Dalam hikayat ini turut menyatakan pada bahagian awal petikan Hikayat Raja-raja Pasai tentang agama Islam. Buktinya;
“Alkisah peri mengatakan cerita raja yang pertama masuk agama Islam ini Pasai; maka adalah diceriterakan oleh orang yang empunya cerita ini, negeri yang di bawah angin ini, Pasailah yang pertama membawa iman akan Allah dan akan Rasulullah. Maka ada raja dua bersaudara seorang namanya Raja Ahmad dan seorang namanya Raja Muhammad. Adapun yang tua Raja Ahmad. Maka baginda kedua bersaudara itu hendak berbuat negeri di Samarlanga”.
(Hikayat Raja Pasai, 1987)
Selain itu, terdapat juga artifak seperti makam Sultan Malik al Salih menunjukkan Pasai terletak di Kampung Geudong, Lhokseumawe, utara Aceh, pulau Sumatera, Indonesia. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa Sulalat Al-Salatin mempunyai serta menepati prinsip berbahasa yang kedua, iaitu berbahasa untuk menyampaikan maklumat yang sebenar.
Berbahasa untuk tujuan ibadat atau mentauhidkan Allah
Terdapat pelbagai cara untuk kita beribadat kepada Tuhan selaku pencipta dunia ini. Sebarang pekerjaan yang disertakan dengan niat kerana Allah merupakan salah satu cara kita beribadat kepada Allah selain menunaikan solat fardu, puasa dan sebagainya. Berbahasa juga merupakan sebahagian daripada cara kita beribadat.
Menurut Mohd Rashid Md Idris (2012 : 72), komunikasi yang berkesan melibatkan semua bentuk hubungan antara manusia dengan segala bentuk keperluannya. Terdapat tiga jenis hubungan, iaitu hubungan manusia dengan Allah S.W.T (hablum minallah), hubungan antara manusia dengan manusia (hablum minannas), dan hubungan manusia dengan alam sekitar. Selain itu, hubungan manusia dengan pencipta-Nya dikenali sebagai komunikasi menegak kerana Tuhan dilihat sebagai tunjang kepada segala proses komunikasi yang berlaku. Jenis hubungan ini juga dilihat melibatkan dua perkara utama, iaitu duniawi dan ukhrawi selaras syariat agama Islam itu sendiri.
Di samping itu, berbahasa dikatakan beribadat apabila komunikasi yang berlaku itu memperlihatkan ciri-ciri penyampaian maklumat yang benar, berbahasa untuk saling menegur, menasihati dan yang paling jelas ialah penggunaan berbahasa sepanjang menuntut ilmu yang bermanfaat. Oleh itu, jelas bahawa berbahasa yang memperlihatkan kesan positif kepada diri sendiri atau orang lain merupakan salah satu kaedah untuk kita mentauhidkan Allah S.W.T.
Menurut Mohd Rashid Md Idris (2012:73), yang menyatakan bahawa terdapat empat jeins komunikasi utama, iaitu komunikasi manusia dengan pencipta-Nya, manusia dengan dirinya sendiri, manusia sesama manusia dan juga manusia dengan makhluk-makhluk lain. Komunikator yang berkesan dan selari dengan agama Islam dipengaruhi oleh pengamatan dan penghayatan yang mendalam terhadap keempat-empat jenis komunikasi tersebut.
Oleh itu, dalam Sulalat al- Salatin terdapat banyak unsur-unsur yang berkaitan dengan corak keislaman telah dimasukkan oleh pengarang. Hal ini termasuklah dari aspek gaya penulisan yang digunakan, aspek kedatangan Islam, iaitu di Samudera dan Melaka. Selain itu, dalam hikayat Sulalat Al-Salatin ini juga ditonjolkan tokoh-tokoh dan ulama-ulama Islam, adat-istiadat dan perundangan, karya-karya kesusasteraan Islam dan corak pendidikan dan perkembangan ilmu keislaman.
Misalnya, dari aspek gaya penulisan, antara unsur Islam yang terdapat dalam Sulalat Al-Salatin ialah mukadimahnya dimulai dengan “Bismilahirrahmanirrahim”. Selain itu juga, dalam mukadimah juga disertakan ayat-ayat al-Quran dan diikuti pula dengan terjemahan dalam bahasa Melayu. Di samping itu, struktur penulisan seperti ini adalah teknik yang biasa dalam karya-karya Arab-Parsi. Hal ini demikian kerana, pada tiap-tiap akhir cerita, pengarang menutupnya dengan ayat “Wa’llahu a’lamu bi’s-sawab. Selain itu, kalimat-kalimat Arab-Parsi digunakan dalam ayat, antaranya Syahbandar, alam, bahari, sahibul hikayat dan sebagainya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa terdapat pengaruh Islam yang cuba ditonjolkan dalam Sulalatus Salatin. Antara contoh ayat yang menunjukkan gaya penulisan yang berunsurkan Islam dalam sulalat al-salatin ialah :
“Bismilahirrahmanirrahim, Alhamdulillahirobbilalamin …”
“Masailah. Sudah memuji Allah dan mengucap salawat akan Rasulullah, sallallahu ‘alaihi wasallam, syahadan rahmat Allah atasnya dan atas segala sahabatnya”.
(Sulalat al-salatin halaman 3)
Seterusnya, dalam hikayat Sulalat al-salatin juga turut menceritakan tentang kedatangan Islam. Dalam Sulalat al- Salatin ada menceritakan kedatangan Islam di Samudera dan Melaka. Hal ini memperlihatkan unsur-unsur Islam dalam Sulalat al-salatin. Misalnya, kedatangan Islam di Samudera. Negeri Samudera telah disebut-sebut oleh Rasulullah s.a.w kepada sahabat-sahabat baginda kerana akan lahir ramai wali dalam negeri tersebut.
“Maka tersebutlah pada zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda pada segala sahabat, “ Pada akhir zaman ada sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya. Maka apabila kamu dengar khabarnya negeri Samudera itu maka segeralah kamu pergi ke negeri Samudera itu. Bawa ia isi negeri Samudera itu masuk kepada agama Islam, karena dalam negeri Samudera itu banyak wali Allah akan jadi, tetapi adapun seorang fakir negeri Ma’abri namanya, ialah kamu bawa serta kamu.”
(Sulalat al-salatin, halaman 44)
Seterusnya, kedatangan Islam di Melaka. Hal ini demikian kerana, peristiwa kedatangan Islam di Melaka digambarkan oleh pengarang melalui peristiwa Raja Tengah telah diislamkan oleh Nabi Muhammad saw melalui mimpi. Dalam mimpi tersebut dikatakan bahawa Raja Tengah telah diajar mengucap dua kalimah syahadat, dikhatankan, dan diberi nama Islam. Petikan berikut merupakan bukti yang terdapat dalam sulalat al-salatin mengenai Raja Tengah telah diislamkan melalui mimpi.
“Hatta pada suatu malam baginda pun bermimpi berpandangan dengan elok Nabi kita Muhammad Mustafa sallallahu ‘alaihi wasallam. Maka sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pada Raja Tengah, ucapkan oleh “syahadah”, Maka oleh Raja Tengah seperti sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam itu diturutnya.”
(Sulalat al-salatin, halaman 59)
Akhir sekali unsur Islam dalam Sulalat al-salatin juga dapat dilihat dalam aspek corak pendidikan dan perkembangan ilmu keislaman. Dalam Sulalat al-salatin juga ada menyentuh tentang corak pendidikan dan perkembangan ilmu keislaman. Misalnya istana digambarkan sebagai pusat pengajian ilmu-ilmu Islam. Sementara Pasai pula dikatakan menjadi pusat bermuzakarah mengenai ilmu fiqah mengikut mazhab Shafie.
Selain itu, istana juga dijadikan pusat pengajaran Islam dengan sultan dan pembesar turut belajar dan menuntut ilmu. Ulama-ulama, guru-guru agama dan pendakwah semuanya berkumpul di istana. Sebagai contoh, Maulana Sadar Jahan dari Jeddah mengajar di Melaka dan Maulana Yusuf mengajar tasawuf. Kitab-kitab agama seperti kitab Duri’l-Mazlum dibawa ke Melaka oleh Maulana Abu Bakar dan diajar di istana Melaka. Selain itu, diceritakan juga tentang utusan dari Melaka ke Pasai untuk menyelesaikan masalah-masalah berkaitan ilmu Islam kerana di Pasai ramai ulama-ulama berkumpul bermuzakarah tentang ilmu-ilmu keislaman.
Antara contoh petikan yang menunjukkan bahawa Maulana Sadar Jahan mengajar mengaji di Melaka ialah :
“Arkian maka turun sebuah kapal dari atas angin ke Melaka. Dalam kapal itu ada seorang pandita, Maulana Sadar Jahan namanya, terlalu alim. Sultan Mahmud Syah pun berguru kepada Maulana Sadar Jahan dan anakanda baginda Raja Ahmad ( pun disuruh) baginda mengaji. Maka Maulana Sadar Jahan disebut orang makhdum. Maka segala orang besar-besar Melaka pun semuanya mengaji pada makhdum.”
(Sulalat al-salatin, halaman 191)
KESIMPULAN
Kesimpulannya, jelaslah bahawa kesempurnaan berbahasa dapat dicapai melalui penggunaan alat-alat pertuturan kurniaan Allah dengan cara yang betul serta menekankan komunikasi secara holistik yang dapat memberikan gambaran keseluruhan kehidupan orang Melayu yang merangkumi bahasa, budaya dan agama. Kesempurnaan berbahasa ini bukan sahaja meliputi aspek nahunya sahaja, tetapi haruslah merangkumi aspek makna dan tujuan komunikasi itu sendiri. Berdasarkan prinsip pertama dalam model falsafah bahasa, berbahasa mengikut nahunya agar maksud yang hendak disampaikan itu mencapai objektifnya memerlukan pembangunan dan perkembangan intelek yang bukan sahaja sekadar berfikir tetapi harus menyuarakannya.
Prinsip kedua pula memerlukan pemikiran itu disuarakan berlandaskan kebenaran agar maklumat atau fakta yang disampaikan betul dan benar. Pemikiran tidak boleh berlandaskan kepercayaan atau emosi semata-mata tetapi mesti berlandaskan fakta-fakta dan penaakulan yang tepat dan sahih. Dalam hal ini, pembangunan kerohanian amat penting untuk mempertimbangkan kebenaran dan sekali gus mencapai tujuan berbahasa untuk beribadat atau mentauhidkan Allah. Kesempurnaan berbahasa ini juga dikaitkan dengan unsur jasmani yang mementingkan kesihatan dan kecergasan yang menyumbang kea rah pemikiran yang logik. Maka, kesepaduan antara ketiga-tiga konsep ini dapat mencapai, memperkembangkan dan mengimbangkan pembangunan dalam aspek JERI.
