




KARYA AGUNG MELAYU IALAH KARYA YANG MELAMBANGKAN KEUNGGULAN DAYA CIPTA SENIMAN, PENULIS DAN PEMIKIR BANGSA MELAYU DALAM MENGGAMBARKAN IDEALISME, NILAI, PANDANGAN HIDUP, ADAT, BUDI, KESEDARAN MORAL DAN VISI BANGSA DAN MASYARAKATNYA MELALUI BENTUK SASTERA DAN SENI YANG TINGGI NILAINYA SEHINGGA KESAN SENI, BUDAYA DAN FALSAFAH KEKAL SEPANJANG ZAMAN DALAM MINDA KOLEKTIF BANGSA MELAYU.
NILAI ILMU DAN MAKLUMAT
Konsep Nilai
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan juga taraf. Menurut Jules Henry ( 1975) pula, mendefiniskan nilai sebagai sesuatu yang dikira baik seperti kasih sayang, baik hati, kepuasan hati, keseronokan, kejujuran, kesopanan, ketenangan, dan kesederhaan. Dalam bidang sains sosial, nilai boleh didefinisikan dalam tiga konteks utama, iaitu sebagai sifat bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kuantiti dan sebagai ukuran atau piawai kepada sesuatu kelakuan manusia.Selain itu, nilai juga diistilahkan sebagai ‘al-qimah’ dalam bahasa Arab yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Di samping itu, nilai juga bersifat aksiologi dan mepunyai hubung kait dengan falsafah nilai, dan nilai juga membolehkan manusia membezakan antara yang baik atau buruk dan betul atau salah. Oleh hal yang demikian, nilai bukan sahaja merupakan satu standard bagi sesuatu barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia. Kehidupan masyarakat Melayu sememangnya tidak boleh terlepas daripada peraturan dan aturan yang perlu dipatuhi berdasarkan kesepakatan masyarakat.
Pemupukan nilai dalam masyarakat Melayu membolehkan seseorang itu diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat. Masyarakat Melayu cukup mementingkan aspek nilai dalam kehidupan untuk menjamin kesejahteraan masyarakat dan nilai yang disampaikan bersifat beradab, muafakat dan penuh dengan kesusilaan yang murni. Nilai dalam masyarakat Melayu dapat dipupuk melalui dua pembahagian cara, iaitu formal melalui pendidikan formal di institusi pendidikan, dan tidak formal melalui persekitaran seperti keluarga, rakan dan masyarakat. Nilai dan etika Masyarakat Melayu dikatakan sangat mempunyai perkaitan rapat dengan perkara yang dianggap sebagai mempunyai nilai yang tinggi dari segi kebenaran, kebaikan, dan keindahan. Nilai-nilai tersebut cukup sinonim dengan agama Islam yang sangat berpengaruh dalam masyarakat Melayu seluruh Nusantara. Ketinggian dan kesucian nilai dan etika berdasarkan pengaruh agama Islam itu sendiri memberi pengaruh yang sangat besar terhadap akal budi Melayu sehingga ia kekal pada masyarakat hari ini.
Konsep ilmu
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), ilmu bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin, dan lain-lain. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa ilmu adalah hal yang berkaitan kerana pemerolehan ilmu itu dan usaha kita menyebarkannya kepada orang lain dalam bentuk pelbagai maklumat. Maklumat yang disebarkan mengandungi pelbagai fungsi. Antara fungsi sesuatu ilmu itu disebarkan ialah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi perkara yang mengandung pelbagai kemusykilan dan lain-lain.
Ilmu Firasat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), menyatakan bahawa firasat ialah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka iaitu terdiri daripada muka dan lain-lain untuk mengetahui kelakuan atau nasib seseorang. Selain itu, ilmu firasat juga dikatakan sebagai ilmu yang boleh menilik nasib seseorang dan sesiapa yang mempelajari ilmu firasat akan dapat membaca fikiran seseorang. Tilikan atau ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat. Menurut Sulastin Sutrisno, orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat atau mengetahui lebih dahulu segala sesuatu yang akan berlaku. Melalui ilmu firasat juga seseorang itu dapat mengetahui kelemahan atau kekuatan orang lain, antaranya berdasarkan nama, haru atau ketika. Kepercayaan kepada ilmu firasat boleh dikaitkan dengan konsep ‘memilih ketika’ dalam kalangan masyarakat Melayu. Umpamanya dalam seminggu terdapat hari-hari tertentu yang baik dan buruk serta membawa sial. Begitu juga dengan bulan-bulan tertentu dalam masa setahun. Oleh yang demikian, mereka yang memilih ketika yang baik untuk memulakan sesuatu pekerjaan atau rancangan seperti mendirikan rumah, mengerjakan sawah, dan memulakan perjalanan untuk merantau. Hal ini demikian kerana, bagi sesetengah masyarakat ‘ memilih ketika’ itu penting untuk mengelakkan daripada bencana atau sebarang keburukan.
Ilmu Firasat dalam Hikayat Hang Tuah.
Dalam Hikayat Hang Tuah juga ada disebut tentang pengamalan ilmu firasat. Amalan ilmu ini dapat dilihat sewaktu Raja Melaka hendak berangkat ke Majapahit untuk berkahwin dengan puteri negeri tersebut. Masa yang dipilih oleh Raja Melaka dipersetujui oleh Hang Tuah kerana menurutnya ketika tersebut, iaitu pada hari Ahad malam Isnin, adalah waktu yang geroda dikalahkan oleh seekor ular. Kiasan itu membawa erti, orang atau pihak yang kuat dan besar dapat ditewaskan oleh orang atau pihak yang lebih kecil. Ramalan Hang Tuah itu ternyata tepat apabila beliau dan rombongan tersebut beroleh kejayaan di Majapahit. Beliau dan rakan-rakanya dapat mengetahui segala tipu helah serta percubaan membunuhnya oleh pembesar dan parajurit negeri itu. Selain itu, peristiwa mimpi yang telah dialami oleh Hang Mahmud juga dapat dikatikan dengan firasat. Sebagai contoh, petikan yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah :
“Maka pada malam itu Hang Mahmud bermimpi bulan turun dari langit, maka cahayanya penuh di atas kepala Hang Tuah. Hang Mahmud pun terkejutlah lalu bangun daripada tidur, lalu diribanya anaknya Hang Tuah dan diangkatnya, maka diciumnya seluruh tubuh”.
( Hikayat Hang Tuah :23)
Berdasarkan petikan diatas, ia dapat dijelaskan apabila Hang Mahmud telah bermimpi tentang bulan yang turun dari langit dan cahaya bulan tersebut telah mengenai Hang Tuah. Oleh itu, melalui peristiwa tersebut, Hang Mahmud berpendapat bahawa sesuatu akan berlaku kepada Hang Tuah. Dengan itu, beliau telah berpesan kepada isterinya iaitu Dang Merdu agar sentiasa menjaga Hang Tuah.
Di samping itu, ilmu firasat yang lain yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ialah Penubuhan Kota Melaka. Contoh petikan dalam hikayat ialah :
“Maka dilihat seekor pelanduk putih, seperti kambing besarnya, berhadapan dengan anjingnya. Maka, oleh pelanduk itu digigitnya akan anjing kedua itu. Maka anjing itupun berterika keduanya lalu terjun ke dalam sungai itu. Maka pelanduk itu pun mengusir anjing keduanya …”.
“ Ya tuanku Syah Alam, ada patik dengar kata orang tua-tua patik, jika ada pelanduk putih pada hutan atau barang tempat sekalipun, baiklah tempat, patut diperbuat negeri, berdaulat negeri tuanku”.
( Hikayat Hang Tuah : 64)
Berdasarkan petikan di atas, pada ketika Tuanku Syah Alam sedang berehat di bawah sepohon pokok, Hang Tuah telah mengkhabarkan kepada Tuanku tentang anjing pemburuannya yang telah dikalahkan oleh seekor pelanduk putih. Tuanku Syah Alam tertarik dengan cerita yang disampaikan dan bertanya kepada salah seorang pembesar tentang peristiwa yang disampaikan oleh Hang Tuah. Maka, pembesar tersebut memberikan pandangan, iaitu menurut cerita yang disampaikan oleh orang tua-tua, jika terdapat seekor pelanduk putih, tempat tersebut sesuai untuk dibuka sebuah negeri. Oleh itu, Tuanku Syah Alam berfirasat, sekiranya dibuka sebuah negeri, negeri tersebut akan maju dan kuat.
Seterusnya ilmu firasat yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ialah rahsia Keris Taming Sari.
Contohnya :
“ Apa juga dipakainya maka tiada lut kuparang? Tetapi pada firasatku sebab kerisnya inilah maka ia tiada dapat ditentang lawan dan tiada lut kuparang tubuhnya ini jikalau demikian, apa jua kehendaknya? Baiklah kuperdayakan”.
( Hikayat Hang Tuah : 155)
Petikan diatas menjelaskan bahawa menerusi peristiwa yang berlaku tentang Keris Taming Sari, Hang Tuah berfirasat bahawa jika seseorang itu mempunyai keris Taming Sari, badannya tidak akan lut jika ditikam. Oleh itu, dengan menggunakan kebijaksanaannya, Hang Tuah telah Berjaya merampas keris tersebut dari tangan Taming Sari. Dengan itu, firasat Hang Tuah tentang keris tersebut sememangnya betul, kerana sepanjang beliau menggunakan keris tersebut, beliau tidak pernah tercedera dalam pertarungan.
Ilmu pendukunan
Ilmu Pendukunan Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), dukun merupakan orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional dengan membaca jampi serapah dan sebagainya, dan dikenali juga sebagai bomoh atau pawang. Manakala pendukunan pula membawa maksud yang mengenai atau berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu dukun. Dalam agama Islam, ilmu pendukunan adalah haram. Kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat permulaan adalah berbentuk animism. Dalam kepercayaan itu mereka menganggap benda-benda mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Sehubungan dengan itu, wujudlah pemujaan atau penyembahan kepada batu-batu, pokok-pokok, sungai-sungai, gunung-gunung, dan fenomena lain. Tambahan, kuasa ghaib itu tidak boleh dihubungi oleh orang sembarangan, jadi dukun, pawang atau bomoh diperlukan. Usaha ini dianggap berfungsi mengembalikan keadaan seperti asalnya. Dukun atau bomoh juga dapat menghubungi semua ghaib yang ada pada binatang terutama yang liar dan bisa. Bomoh atau dukun biasanya tahu akan kelemahan binatang-binatang tersebut dengan jampi. Tetapi kadang-kadang seseorang bomoh itu pakar dalam satu bidang sahaja, contohnya seperti bomoh ular, gajah, dan sebagainya. Dalah Hikayat Abdullah, terdapat masyarakat pada zaman dahulu yang menggunakan ilmu pendukunan untuk tujuan tertentu.
Ilmu pendukunan dalam Hikayat Abdullah
Hikayat Abdullah mengisahkan pengalaman dan kisah kehidupan sebenar Abdullah bin Munsyi Abdul Kadir sejak beliau dilahirkan sehinggalah beliau meninggal dunia. Namun begitu, dalam hikayat Abdullah juga terdapat beberapa petikan yang menunjukkan terdapat unsur pendukunan yang dicatatkan dalam hikayat tersebut. Antaranya ialah :
“ Syahadan, maka adalah pada masa itu, dalam Melaka datang seorang, iaitu datang dari Terengganu, bernama Pawang Gajah. Maka asalnya ia orang Kedah yang tau pada ilmu gajah dan berbagai-bagai ubatan”.
( Hikayat Abdullah : 51)
“ Maka sebab itu maka serba bangsa pun ada meminta ubat-ubatan dan hikmat-hikmat dan tangkal-tangkal kepadanya”.
( Hikayat Abdullah : 55)
Berdasarkan petikan di atas, unsur pendukunan dapat dilihat dengan adanya perkataan Pawang Gajah. Hal ini demikian kerana, dukun juga boleh dikenali sebagai pawang dan Pawang Gajah yang terdapat dalam petikan di atas menggambarkan seseorang yang pakar dalam bidang gajah. Manakala, dalam petikan kedua pula unsur pendukunan dapat dilihat dengan adanya penggunaan khidmat tangkal-tangkal. Hal ini demikian kerana, kebiasaan dukun akan memberikan kata-kata hikmat yang perlu diamalkan atau pemakaian tangkal untuk mengelakkan sesuatu musibah atau perkara buruk berlaku.
Jampi
Jampi Menurut Kamus Dewan (2010), jampi adalah kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian seperti boleh menyembuhkan penyakit. Jampi juga dikenali sebagai mantera. Menurut Mana Sikana (1996) berpendapat bahawa jampi serapah tidak hanya sekadar penglahiran perasaan seperti puisi. Sebaliknya ia ada hubungannya dengan kejiwaan dan sistemkepercayaan. Pembaca jampi atau dikenali sebagai pawang merupakan manusia luar biasa dan disifatkan sebagai manusia perantara makhluk dengan khaliq atau supernatural. Jampi terbahagi kepada tiga jenis, iaitu jampi larangan, jampi perubatan, dan jampi dalam islam.
Jampi Larangan.
Jampi larangan dicipta sebagai pendinding supaya pengamalnya tidak dikacau oleh syaitan. Jampi menolak syaitan boleh dibaca dan digunakan pada bila-bila masa yang perlu. Antara contoh jampi menolak syaitan adalah seperti :
Bismillahi’r-Rahmani’Rahim Yaounimaizin
Lam yakun Allahal-Samad Lo yam
Berlari engkau setan paraun Lo din
Ke gunung tujuh lapis Dengan berkat
Lo ren Lailaha il-Lallah
La ren Muhammad ar-Rasulullah Ji hin
Jampi perubatan
Jampi ini tergolong dalam perubatan bagi menghilangkan atau mengurangkan bisa, khususnya bisa yang kecil. Misalnya bisa digigit kala jengking, terkena api atau apa juga bentuk gigitan yang meninggalkan bisa atau racun.
Contohnya :
Bismillahi’r-Rahmani’r-Rahim
Tawar datang Wisak turun
Berkat Lailaha il-Lallah
Muhammad ar-Rasulullah
Jampi dalam Islam
Terdapat riwayat yang menjelaskan bahawa penggunaan jampi ini sudah wujud sejak zaman nabi Muhammad s.a.w. Pengamalan atau pembacaan jampi mantera ini boleh dilakukan selagi tidak bercanggah dengan syarak dan tidak pula syirik kepada Allah.
Ilmu Jampi dalam Hikayat Tuanku Malin Deman.
Jampi dalam IslamPengaruh Islam sudah mula ada dalam hikayat ini apabila jampi serapah yang dibaca menggunakan nama Allah sebagai permulaan jampi tersebut. Bukti pengaruh Islam dalam jampi tersebut boleh dilihat dalam jampi ini:
‘’Ya, Allah, ya Saidi, ya Maulai, ya Tuhanku. Jikalau sah beta raja yang berasal berturun-temurun, ayah beta yang bernama Tuanku Gombang Malim Dewa, datuk yang bernama Tuanku Malim Perman, mohonlah dengan berkat sah kesaktian segeralah turun tuan Puteri Bongsu daripada kayangan.
(Hikayat Malim Deman:23)
Jampi Pengasih memuja puteri bongsu turun dari kayangan.
-
Jampi ini digunakan oleh Tuanku Malim Deman bertujuan memuja Puteri Bongsu supaya turun dari kayangan. Tuanku Malim Deman mempelajari jampi ini daripada Nenek Kebayan di mana Si Puteri Bongsu selalu turun bermain tujuh bersaudara. Kemudian, Nenek Kebayan telah mengajar tuanku beberapa perkara dan jampi tersebut dimulakan dengan membakar kemenyan mandung jati kesaktian serta mengasapkan cincin dan rambut tuan Puteri Bongsu.
-
‘’Hatta, seketika lagi hari pun malamlah. Maka Nenek Kebayan pun segeralah membentang tikar putih dengan permaidani yang indah-indah. Maka kata Nenek Kebayan , ‘Aduhai cucuku Tuanku Malim Deman, kepada malam ini hendaklah tuanku bakar kemenyan mandung jati kesaktian serta pula tuanku asapkan cincin dan rambut tuan Puteri Bongsu itu. Maka apabila diperbuat seperti yang demikian itu, nescaya sampailah asapnya itu ke atas kayangan; maka bergerak-geraklah sekalian wujud anggotanya; tentulah ia ketujuh berangkat turun.’
-
Kesan daripada jampi serapah tersebut, hati puteri gundah gelana dan ingin segera turun ke dunia. Walaupun sudah bertunang dengan Tangggal Ali, Puteri Bongsu tetap ingin turun ke bumi. Hal ini dapat dilihat melalui pantun ini:
Cenderawasih Si Rajawali,
Turun melayang ke tengah halaman;
Adinda tidak kasih Si Tangkal Ali,
Hatinya sayang ke Malim Deman.
(Hikayat Malim Deman:32)
Jampi Pendinding
-
Jampi jenis ini boleh dikatakan dipelajari dan dipakai oleh kebanyakan orang Melayu sebagai alat penebal atau mempertahankan diri daripada perbuatan orang, baik secara halus ataupun terang.
-
Jampi ini boleh digunakan dengan cara meminum air yang telah dijampi atau jampi tersebut boleh ditulis di atas kertas lalu dipakai sebagai azimat. Namun, azimat tersebut tidak boleh dibawa ke tempat kotor dan tidak boleh berniat jahat.
-
Jampi ini berfungsi sebagai pendinding diri kerana niat jahat, hasad, fitnah dan sebagainya tidak akan sampai kepada pengamalnya, malah dalam beberapa keadaan perbuatan jahat itu tadi akan kembali kepada si pelaku itu semula.
-
Dalam jampi ini Tuan Puteri menggunakan sirih, pinang, kapur dan air mawar. Setelah dikapurkan, bahan-bahan ini diberikan kepada Tuanku Malim Deman. Hal ini bertujuan untuk melindungi Tuanku Malim Deman untuk menghadapi rintangan dan kesusahan semasa perjalanan ke kayangan.
"Jika kekanda menempuh lautan gelap, kakanda santaplah sekapur, nescaya teranglah lautan itu, dan jika kakanda menempuh lautan api, kakanda santaplah sekapur, nescaya padamlah api itu, dan apabila kakanda menempuhi lautan sejuk, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah sejuk itu, dan apabila kakanda menempuhi lautan kuning, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah kuning itu,dan apabila kakanda menempuhi lautan hijau, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah hijau itu dan apabila kakanda menempuh lautan masin, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah masin itu, dan apabila kakanda menempuh lautan bisa, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah bisa itu.
(Hikayat Malim Deman:53)
Ilmu Pengasih
-
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ilmu pengasih ialah pengetahuan tentang jampi, azimat, atau guna-guna untuk mendatangkan atau membangkitkan rasa kasih terhadap individu yang dikehendaki.
-
Ilmu pengasih terdiri dalam pelbagai jenis, kaedah serta nama. Contohnya minyak dagu, pengasih purnama, pengasih arjuna, dan pengasih jiwa.
-
Ilmu pengasih boleh dilakukan dengan menggunakan minyak pengasih yang diperbuat daripada bahan tertentu, makanan dan minuman, minyak wangi, tenungan mata, hikmah suara, hikmah seri wajah dan sebagainya.
Ilmu Pengasih dalam Hikayat Hang Tuah
Dalam Hikayat Hang Tuah turut diceritakan tentang Hang Tuah menggunakan ilmu pengasih bagi mendapatkan Tun Teja:
-
Hang Tuah menggunakan tipu muslihat bagi meyakinkan Tun Teja untuk mengikutnya pulang ke Melaka. Hang Tuah menyatakan bahawa dia ingin memiliki Tun Teja. Pada mulanya Tun Teja amat marah akan perkhabaran yang dibawa oleh inangya itu. Oleh sebab itu Hang Tuah mengambil jalan untuk menggunakan ilmu pengasih terhadap Tun Teja dengan menggunakan ‘jebat’ yang diperoleh daripada seorang perempuan tua. Hang Tuah membuka ‘pustakanya’ iaitu kitab atau buku lama yang mempunyai ilmu tentang cara-cara membuat ilmu pengasih dan terus keluar mencari ‘jebat’ iaitu wangi-wangian yang dijual oleh seorang perempuan tua bagi menghasilkan ubat guna- guna tersebut.
-
Hang Tuah bersepakat dengan inang Tun Teja untuk mencalitkan guna-guna tersebut pada Tun Teja yang sedang tidur. Sebaik sahaja ‘jebat’ itu dicalitkan pada Tun Teja, beliau segera bangun dari tidur dan mencari inangnya. Tun Teja menyatakan bahawa beliau teringin untuk berjumpa dengan Hang Tuah. Ketika itulah Hang Tuah memasang jerat dengan menyatakan bahawa beliau akan berangkat ke Melaka. Tun Teja berasa sedih untuk berpisah dengan Hang Tuah dan menyebabkan beliau bersama-sama Hang Tuah berangkat ke Melaka beserta semua dayang.
-
Maka Tun Tuah pun bermohonlah lalu pulang ke rumahnya. Maka Tun Tuah pun mandi dan berlangir. Maka Tun Tuah pun duduklah membuka pustakanya. Setelah sudah dilihat dalam pustakanya, maka Tun Tuah pun tersenyum, seraya dikucupinya pustakanya itu.
(Hikayat Hang Tuah: 216)
-
Setelah Tun Tuah berolah jebat itu, maka Tun Tuah pun kembalilah ke rumahnya berbuat suatu guna pengasih namanya. Setelah sudah diperbuat guna itu, maka pada malam itu juga Tun Tuah berjaga membaca pustakanya datang siang.
(Hikayat Hang Tuah: 217)
-
Demi berpalit gunanya itu maka Tun Teja pun terkejut seperti disentap orang kakinya. Maka Tun Teja pun bangun, seraya berkata, “Rindunya aku akan Mak Inang…” … “Janganlah inang takut. Mana Tun Tuah itu sekarang?
(Hikayat Hang Tuah: 218)
Keterangan di atas jelas menunjukkan bahawa Hang Tuah telah menggunakan ilmu pengasih bagi memikat Tun Teja untuk di bawa ke Melaka dan dikahwinkan dengan Raja Melaka. Ilmu pengasih yang dibuat Hang Tuah ternyata berkesan apabila Tun Teja segera memanggil inangya dan bertanyakan tentang Hang Tuah sejurus selepas dicalitkan ubat pengasih tersebut. Hang Tuah juga digambarkan telah mempunyai ilmu tersebut kerana beliau mempunyai ‘pustaka’ atau kitab tentang ilmu pengasih. Kitab inilah yang dirujuk beliau sebelum mencari bahan bagi menghasilkan ubat pengasih atau guna-guna tersebut.
Kesimpulan
-
Dapat memahami konsep nilai dan ilmu.
-
Dapat mengenal pasti jenis-jenis ilmu dalam masyarakat Melayu seperti yang terdapat dalam karya agung.
