top of page

 

HIKAYAT RAJA-RAJA PASAI

 

SINOPSIS HIKAYAT RAJA-RAJA PASAI

 

Hikayat Raja-Raja Pasai atau juga Hikayat Raja Pasai menceritakan kisah raja-raja di negara Islam pertama di Asia Tenggara kini yang bernama Pasai. Hikayat Raja-Raja Pasai dianggap hasil kesusasteraan Melayu, yang mengisahkan masyarakat Melayu dan menggunakan bahasa Melayu (tulisan Jawi). Tidak dapat dipastikan tarikh awal hikayat ini ditulis kerana pada masa itu tradisi menceritakan semula cerita orang lain (seperti yang dilakukan pada cerita lisan) berlaku dan dianggap sebagai sesuatu yang wajar. Perhatikan bahagian awal petikan Hikayat Raja Pasai yang berikut ini:

 

Alkisah peri mengatakan cerita raja yang pertama masuk agama Islam ini Pasai; maka adalah diceriterakan oleh orang yang empunya cerita ini, negeri yang di bawah angin ini, Pasailah yang pertama membawa iman akan Allah dan akan Rasulullah. Maka ada raja dua bersaudara seorang namanya Raja Ahmad dan seorang namanya Raja Muhammad. Adapun yang tua Raja Ahmad. Maka baginda kedua bersaudara itu hendak berbuat negeri di Samarlanga.

 

Artifak seperti makam Sultan Malik al Salih menunjukkan Pasai terletak di Kampung Geudong, Lhokseumawe, utara Aceh, pulau Sumatera, Indonesia. Hikayat Raja-Raja Pasai merupakan hasil sastera sejarah yang tertua yang dipercayai disusun pada abad ke-15 iaitu semasa pemerintahan Malikul Saleh hingga Pasai ditakluki oleh Majapahit. Ia dapat dibahagikan kepada 3 mengikut peralihan cerita.

 

        Pertama, mengenai pembukaan Negeri Samudera-Pasai dan kisah pengislamannya. Kisahnya mengaitkan keturunan raja-raja Pasai yang bernama Raja Ahmad dan Raja Muhammad. Ketika berburu, Raja Ahmad menjumpai budak perempuan daripada buluh betung. Mereka berkahwin dan mendapat seorang puteri bernama Puteri Betung. Puteri Betung pula dikahwinkan dengan Merah Gajah dan mendapat dua orang putera iaitu Merah Silu dan Merah Hasum. Setelah dewasa, Merah Silau telah membuka Pasai Samudera sempena nama seekor semut besar. Kisah pengislaman Pasai pula dikaitkan dengan Merah Silau yang bermimpi bertemu dengan Rasullullah dan menukar nama kepada Sultan Malikul Saleh.

 

Manakala bahagian kedua menceritakan kisah mengenai kisah mengenai Tun Beraim Bapa yang merupakan tokoh yang menjadi kebanggaan Kerajaan Pasai. Kegagahan Tun Beraim Bapa (anak Sultan Ahmad) digambarkan seperti Hang Tuah. Beliau juga amat dikenali rakyat kerana prihatin akan kehidupan rakyat. Bahagian akhir cerita pula mengenai kisah penaklukan Pasai oleh Majapahit. Puncanya bermula akibat daripada sifat dengki pembesar Pasai kepada Tun Beraim Bapa. Mereka menfitnah Tun Beraim Bapa kononnya ia telah menceroboh gundik kesayangan raja lalu dijatuhkan hukuman dengan meminum racun.

 

         Setelah kematian Tun Beraim, kekuasaan Pasai menjadi lemah dan mudah ditakluki Majapahit. Akhirnya, Pasai dapat dikalahkan oleh Raja Aceh iaitu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Dalam hikayat ini ada terselit unsur mitos iaitu ketika Raja Muhammad membuka negeri dan berjumpa dengan buluh betung. Dari betung itu lahir seorang puteri bernama Puteri Betung. Manakala kakanda Raja Muhammad iaitu Raja Ahmad mendapat putera yang dipelihara oleh gajah lalu diberi nama Merah Gajah. Setelah Merah Gajah berkahwin dengan Puteri Betung, mereka memperolehi anak bernama Merah Silau dan Merah Hasum. Ada juga dikaitkan dengan legenda mengenai kedatangan Islam yang dihubungkan dengan Nabi Muhammad. Merah Silau mendapat mimpi sehingga dapat mengucap dua kalimah syahadat dan dapat membaca Al-Quran. Setelah memeluk Islam, ia berkahwin dengan Puteri Ganggang dari Perlak dan mendapat putera bernama Malikul Tahir.

 

 

 

NILAI KESEJARAHAN YANG TERDAPAT DALAM HIKAYAT RAJA-RAJA PASAI

 

1) Nilai Kesejarahan Pembukaan Negeri Pasai

 

Pada suatu hari sedang Sultan Malikul Saleh pergi berburu dengan pengikutnya di tepi laut, Sultan Malikul Saleh telah membawa anjingnya yang bernama si Pasai. Setelah tiba di tepi laut si Pasai pun dilepaskan lalu masuk ke dalam hutan. Kemudian si Pasai bertemu dengan seekor pelanduk yang sedang duduk berehat di atas satu kawasan tanah tinggi tersebut. Si Pasai itu pun menyalak akan pelanduk tersebut dan ingin menangkapnya. Namun sesuatu yang ganjil telah berlaku apabila pelanduk itu membalas salakan si Pasai. Apabila si Pasai mendengar salakan pelanduk itu tadi, maka ia pun kembali ke belakang, tempat asalnya. 

 

             Setelah dilihat oleh Sultan Malikul Saleh keadaan yang berlaku itu, baginda pun cuba untuk menangkap pelanduk itu tadi. Namun pelanduk itu dapat melarikan diri darpada ditangkap oleh Sultan Malikul Saleh dan anjingnya si Pasai. Baginda Sultan pun bertanya kepada semua hulubalang sama ada pernah melihat seekor pelanduk yang gagah seperti itu. Setelah itu, Sultan Malikul Saleh mendapat cadangan untuk membuka negeri baru khas untuk anakandanya iaitu Sultan Malikul Tahir. Setelah kembali ke negeri Samudera baginda menitahkan agar kawasan tersebut dibersihkan dan didirikan sebuah istana. Tidak berapa lama setelah selesai semua pembinaan di kawasan tanah tinggi itu, anjing baginda pun mati. Kemudian baginda mengarahkan agar si Pasai ditanam di negeri yang baru di buka itu. Sempena kematian si Pasai Sultan Malikul Saleh menamakan negeri baru itu sebagai negeri Pasai.

 

         Di sini dapat kita lihat nilai kesejarahan awal Pasai bermula dari Sultan Malikul Saleh yang menjumpai kawasan tanah tinggi yang berhampiran dengan laut. Nama Pasai itu sendiri di ambil sempena nama anjing Baginda Sultan iaitu si Pasai. Nama tersebut diambil kerana selepas terbinanya sebuah negeri di kawasan itu anjing Baginda Sultan pun mati. Selain itu nama anjing ini digunakan kerana si Pasai inilah yang menjumpai kawasan tanah tinggi tersebut.

 

2) Nilai Kesejarahan Asal Usul Raja

 

Pasai adalah negeri pertama yang mendapat pengaruh agama Islam. Raja Ahmad bersaudara dengan Raja Muhammad. Raja Muhammad menemui seorang anak perempuan yang keluar dari pohon Bambu lalu baginda menamakannya Puteri Betung manakala Raja Ahmad telah menjumpai seorang anak lelaki yang bernama Merah Gajah. Hal ini kerana anak itu dijumpai semasa baginda menunggang seekor gajah. Kemudian Puteri Betung dan Merah Gajah dinikahkan. Hasil perkahwinan kedua-dua mereka lahirlah Merah Silau dan Merah Hasum.

 

       Disebabkan satu peristiwa, maka berlakulah penceraian antara Merah Gajah dan Puteri Betung. Raja Muhammad sangat marah akan tindakan Merah Gajah lalu membunuhnya. Peristiwa pembunuhan Merah Gajah sampai ke pengetahuan Raja Ahmad lalu baginda melakukan serangan terhadap Raja Muhammad. Dalam pertempuran itu, raja Ahmad dan Raja Muhammad telah mangkat. Merah Silau dan adiknya Merah Hasum berhijrah ke arah barat hingga tiba di sebuah negeri yang dikenali sebagai negeri Berawan dan menetap di sana.

 

         Merah Silau membuat jala dan mencari gelang lalu memasaknya. Setelah itu gelang yang dimasaknya itu bertukar menjadi emas dan buihnya menjadi perak. Hal ini membuatkan Merah Silau menjadi kaya-raya. Peristiwa ini telah menimbulkan salah faham antara abang dan adik. Merah Silau pergi mencari tempat yang baru dan tiba di Hulu sungai Pasangan. Di sana ada negeri yang bernama Buluh Telang yang diperintah oleh Megat Sekandar. Merah Silau sangat disukai oleh orang di sana sehingga menjadikan baginda sebagai raja. Hal ini menyebabkan berlakunya peperangan dengan Sultan Malikul Nasir iaitu adik Megat Sekandar.

 

         Sultan Malikul Nasir dikalahkan berturut-turut oleh Merah Silau sehingga baginda terpaksa melarikan diri ke dalam rimba yang bernama Rimba Pertama Terjun. Kemudian, baginda melarikan diri ke Gunung Lawas dan di sana baginda dikepung oleh Merah Silau. Kemudian baginda terus melarikan diri ke Pekersang, Kumat dan Barus. Melalui peristiwa ini kita dapat lihat bahawa terdapat nilai kesejarahan yang terkandung dalam asal usul raja di Pasai.

 

 

3) Nilai Kesejarahan Perluasan Kekuasaan Majapahit di Pasai

 

Ia bermula apabila Ratu Majapahit mendengar khabar bahawa anaknya mati di Pasai. Baginda berasa sangat marah lalu memerintahkan askarnya menyerang negeri Pasai. Maka berlakulah pertempuran antara kerajaan Majapahit dan Pasai. Setelah sekian lama berperang, Pasai dikalahkan oleh Majapahit. Sultan Pasai pada ketika itu ialah Sultan Ahmad. Baginda melarikan diri ke Menduga yang jaraknya kira-kira 15 hari perjalanan dari Pasai. Tawanan perang dari Pasai dibawa balik ke Jawa. Ada di antara mereka yang terdiri daripada Alim Ulama.

 

      Kerajaan Pasai telah kalah kepada Majapahit disebabkan kekuatan bala tentera Majapahit yang hebat. Dalam perjalanan pulang selepas berperang, Kerajaan Jambi dan Palembang berjaya ditawan oleh askar Majapahit. Patih Gajah Mada diperintahkan oleh Ratu Majapahit untuk menakluki negara-negara jiran. Semua negeri yang ditakluki membayar ufti kepada kerajaan Majapahit kecuali Periaman kerana negeri tersebut masih belum ditakluki oleh Majapahit. Dalam usaha kerajaan Majapahit untuk menakluki kerajaan Periaman, Ratu Majapahit mahu kerbaunya berlaga dengan kerbau dari Periaman .Antara syaratnya jika kerbau Majapahit mengalami kekalahan, orang jawa akan memakai kain mengikut cara perempuan tetapi jika kerbau Periaman mengalami kekalahan, negeri Periaman tertakluk dibawah kekuasaan Majapahit.

 

           Para pembesar Periaman iaitu Patih Suatang dan Patih Ketemenggungan membuat helah. Helah yang dibuat oleh mereka adalah dengan mencari anak kerbau yang masih menyusu. Anak kerbau itu dibiarkan tidak menyusu berhari-hari. Setelah sampai waktu perlagaan, anak kerbau Periaman yang tidak menyusu berhari-hari menghisap buah Pelir kerbau jantan Majapahit kerana lapar menginginkan susu. Dalam perlagaan itu, kerbau Majapahit kalah. Orang-orang Jawa diberi minuman di dalam buluh yang tajam semasa jamuan perpisahan. Mereka mati ditikam dengan buluh itu samasa minum. Selepas itu negeri Periaman bertukar nama menjadi Minangkabau yang diambil dari peristiwa perlagaan kerbau.

 

        Kita dapat lihat di sini bahawa terdapat nilai kesejarahan yang terkandung dalam peristiwa ini iaitu anak Ratu Majapahit mati di Pasai, baginda telah memerintahkan askarnya menyerang negeri Pasai. Maka berlakulah pertempuran antara kerajaan Majapahit dan Pasai. Setelah sekian lama berperang, Pasai dikalahkan oleh Majapahit dan Ratu Majapahit telah memperluaskan kuasanya di Pasai.

 

 

Kesimpulan

 

Naskhah Hikayat Raja Pasai dapat dikatakan merupakan karya sastera yang bersifat sejarah yang tetua dari zaman Islam. Di dalam naskhah tersebut, diceritakan peristiwa-peristiwa yang terjadi antara tahun 1250 hingga 1350 M. Bermula dari zaman raja Malikul Saleh hingga ditakluki oleh Majapahit. Seorang ahli sejarah yang bernama W.O Winstedt membuat kesimpulan bahawa Hikayat Raja Pasai merupakan teks yang tertua dan dianggarkan ditulis sebelum tahun 1534. Melihat isi cerita yang terdapat di dalam Hikayat Raja Pasai maka ia dapat digolongkan sebagai hikayat yang mengandungi nilai-nilai kesejarahan yang tinggi.

 

         Setiap peristiwa yang berlaku dalam Hikayat Raja-raja Pasai mempunyai nilai kesejarahannya yang tersendiri. Melalui kajian ini, kita dapat mengetahui sejarah di sebalik peristiwa yang berlaku. Hal ini membolehkan pembaca tidak lupa akan setiap sejarah di sebalik peristiwa yang berlaku

 

 

 

 

 

 

 

 

bottom of page