




KARYA AGUNG MELAYU IALAH KARYA YANG MELAMBANGKAN KEUNGGULAN DAYA CIPTA SENIMAN, PENULIS DAN PEMIKIR BANGSA MELAYU DALAM MENGGAMBARKAN IDEALISME, NILAI, PANDANGAN HIDUP, ADAT, BUDI, KESEDARAN MORAL DAN VISI BANGSA DAN MASYARAKATNYA MELALUI BENTUK SASTERA DAN SENI YANG TINGGI NILAINYA SEHINGGA KESAN SENI, BUDAYA DAN FALSAFAH KEKAL SEPANJANG ZAMAN DALAM MINDA KOLEKTIF BANGSA MELAYU.
DEFINISI MELAYU DAN KONSEP KARYA AGUNG
PENGENALAN
Menurut Mortimer Adler (1961) melalui buku Penghayatan Karya Agung Melayu, sesuatu karya agung mempunyai tiga sifat utama iaitu karya yang dapat dikaitkan dengan masalah dan isu kini, karya yang tidak jemu dibaca berulang kali, serta karya yang bersesuaian dengan pemikiran yang hebat dan boleh mengisi masa seseorang individu itu. Karya agung ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa serta masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu sepanjang zaman banyak sekali dibentuk oleh tradisi sastera ini. Sesuatu karya untuk menjadi tonggak keintelektualan sesuatu bangsa pastinya perlu berbentuk tulisan kerana melalui tulisan sahaja sesuatu karya dapat dikenal segala maklumat yang terkandung di dalamnya, sekali gus menggambarkan kehebatan bangsa tersebut. Melalui konteks karya agung Melayu, asalnya karya itu kebanyakannya dalam bentuk lisan tetapi melalui usaha-usaha yang terkemudian, bahan-bahan lisan itu ditulis dan dibukukan bagi menjamin kelangsungannya. Melalui tulisan, keindahan bahasa yang digubah dapat dikenal sehingga ke hari ini.
TAKRIF MELAYU
Terdapat begitu banyak bukti yang diperoleh oleh para penyelidik bahasa mengenai asal usul istilah Melayu. Dikatakan bahawa para penyelidik mula mendapati bahawa penggunaan perkataan Melayu itu telah wujud sejak abad kedua lagi iaitu sekitar tahun 100-150 Masihi.
Di dalam buku sejarah Melayu, perkataan Melayu dikaitkan dengan sebatang sungai. Daripada sini dapat dijelaskan bahawa nama Melayu itu diambil sempena sebatang sungai iaitu sungai Melayu seperti yang disebut dalam sejarah Melayu. Dalam tulisan cina, perkataan Melayu dikatakan muncul kali pertamanya antara tahun 644-645 masihi, iaitu disebutkan bahawa orang Mo-lo-yeu mengirimkan utusan ke Negara Cina untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja Cina. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ‘Mlayu’ bermaksud berlari atau mengembara yang merujuk kepada orang Indo-Melayu atau Austronesia yang bergerak dari Yunan.
Definisi Melayu dari segi etimologi. Etimologi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah cabang linguistik yang mengkaji asal usul dan perkembangan sesuatu kata. Perbincangan perkataan ‘Melayu’ akan dilihat dari segi asal usul dan perkembangan perkataannya. Walau bagaimanapun, perkara utama yang harus ditekankan ialah perbincangan ini hanya meliputii kajian perkataan ‘Melayu’ dalam karya Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu sahaja. Justeru, dapat kita lihat bahawa sejauh mana perbincangan tentang asal usul perkataan ‘Melayu’ itu sendiri dalam karya agung Sulalatus Salatin oleh Bendahara Tun Sri Lanang.
Bagi takrifan Melayu menurut tokoh ada menyatakan bahawa ‘Orang Melayu berbadan pendek, gempal dan tegap, rambutnya lurus dan hitam, warna kulitnya gelap, hidung dan bibirnya agak tebal dan matanya cerdas dan cerdik’. Kata-kata tersebut dinyatakan oleh salah seorang pegawai colonial British yang bertugas di Tanah Melayu, Frank Swettenham, dalam buku yang pada mulanya merupakan catatan peribadi beliau, The Malay Sketches atau terjemahan dalam bahasa melayunya ‘Perihal Orang Melayu’. Berdasarkan kata-kata yang dipetik itu ternyata Swettenham cuba memberikan suatu gambaran fizikal mengenai suatu bangsa yang dikenalinya secara rapat. Selain memberikan gambaran mengenai rupa bentuk fizikal orang Melayu, beliau juga turut menyebut tentang psikologi dan budayanya. Pada Swettenham, orang Melayu yang dikenalinya itu mempunyai semangat berpuak-puak yang sangat tebal selain sangat taat kepada raja bahkan ketaatan itu boleh sampai ke tahap ketaatan yang membuta tuli. Namun beliau melanjutkan bahawa orang Melayu sangat ramah tamah dan teguh dalam menganuti agama Islam.
Seperti yang kita tahu, Sulalatus Salatin merupakan merupakan sebuah karya yang tercipta dari titah raja yang membincangkan tentang sejarah negeri Melaka, asal usul raja-raja Melayu dan pembukaan negeri-negeri Melayu, sosial dan ekonomi kerajaan Melayu Melaka pada masa itu serta beberapa cerita yang berbentuk mitos dan dongeng yang tujuannua sebagai pengajaran kepada raja-raja Melayu seterusnya. Namun, terdapat satu petikan pembukaan dalam bab iii versi Mehammad Haji Slleh (1997:20) berbentuk :
‘ Alkisah maka tersebutlah perkataan ada sebuah negeri di tanah Andalas, Palembang namanya.Demang Lebar Daun na(ma) rajanya. Asalnya daripada anak cucu Raja Syulan juga. Muara Tatang nama sungainya. Maka di hulu Muara Tatang itu ada sebuah sungai, Melayu namanya. Dalam sungai itu ada sebuah bukit, Seguntang Mahameru namanya.’
(Sulalatus Salatin, 1997:20)
Walaupun Tun Sri Lanang sendiri tidak mengatakan bahawa perkataan ‘Melayu’ itu asalnya dari nama sebatang sungai, sebaliknya hanya sekadar ingin menyatakan bahawa terdapat sebatang sungai di sana yang terdapat di Andalas, Palembang. Namun, secara tidak langsung beliau telah memberikan gambaran kepada masyarakat pada masa kini tentang keberadaan nama atau perkataan ‘Melayu’ itu serta usia perkataan tersebut walaupun tidak secara terperinci. Sulalatus Salatin merupakan sebuah rekod berbentuk hikayat yang mencatatkan salasilah keturunan raja-raja Melayu dan peristiwa yang mengambil tempat dalam lingkungan kerabat diraja serta istana. Jika ditinjau dari sudut salasilah raja-raja, hikayat ini boleh dianggap sebagai sebuah dokumentasi. Hal ini demikian kerana salasilah raja-raja diberikan dari asal-usul yang tidak mungkin dijangkau oleh kajian biasa. Keturunan raja-raja Melayu dikesan daripada keturunan Raja Iskandar Dzurkarnaian dari Muka dunia.
Dalam karya Sulalatus Salatin, Melayu itu dapat dilihat dengan budaya dan adatnya. Tanpa nilai budaya dan adat maka hilang ciri-ciri kemelayuan masyarakat Melayu. Menurut Kathiresan.D, keseluruhan Sulalatus Salatin berpusat pada keagungan raja-raja Melayu Melaka dan golongan yang berkaitan dengan hal istana. Karya ini juga mencerminkan kehidupan masyarakat Melayu pada masa itu khususnya yang berkaitan dengan istana. Ini termasuklah pantang larang diraja, protokol yang terlibat semasa menerima bingkisan dan utusan dari luar negeri, kaedah menghadap raja dan sebagainya.Melayu itu dapat dilihat dengan budaya dan adatnya. Tanpa nilai budaya dan adat maka hilang ciri-ciri kemelayuan.masyarakat Melayu. Menurut Kathiresan.D keseluruhan Sulalatus Salatin berpusat pada keagungan raja-raja Melayu Melaka dan golongan yang berkaitan dengan hal istana. Karya ini juga mencerminkan pelbagai sistem nilai dan unsur budaya yang menguasai kehidupan masyarakat Melayu pada masa itu khususnya yang berkaitan dengan istana. Ini termasuklah pantang larang diraja, protokol yang teribat semasa menerima bingkisan dan utusan dari luar negeri, kaedah menghadap raja, pakaian yang ditentukan ketika menghadap raja, pakaian yang ditentukan ketika menghadap, upacara keberangkatan raja, upacara peminangan diraja dan sebagainya.
Selain itu, antara pantang larang diraja ialah penggunaan sesetengah jenis warna. Ketetapan ini diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Syah, yakni pemerintah Melaka yang ke-4. Baginda menetapkan warna kuning sebagai warna diraja dan tidak boleh digunakan oleh rakyat biasa. Baginda juga menetapkan kaedah pembinaan rumah dan perahu. Rakyat dilarang membuat rumah yang mempunyai manjung tergantung. Ini mungkin untuk membezakan rumah-rumah tersebut dengan seni bina istana. Tambahan lagi, tedapat juga larangan yang berkaitan dengan pemakaian barang-barang emas. Rakyat dilarang memakai emas tidak kira berapa kaya sekalipun pemiliknya. Emas tersebut hanya boleh dipakai sekiranya dianugerahkan oleh baginda sultan. Sekiranya telah dianugerahkan sekali, pemilik boleh memakainya selama-lamanya.
Terdapat juga larangan dan peraturan khusus yang berkaitan dengan pakaian ketika menghadap raja. Seseorang yang ingin menghadap raja harus berkain pancung, bersebai dan berkeris di hadapan. Tanpa kelengkapan sedemikian mereka tidak akan dibenarkan masuk menghadap (Sulalatus Salatin, halaman 75). Sulalatus Salatin memberi gambaran terperinci tentang susunan kedudukan para pembesar dan rakyat ketika menghadap raja. Semasa menghadap raja di balairung, Bendahara selaku ketua pentadbiran, penghulu dan bendahari akan duduk di seri balai. Anak-anak raja pula duduk di kiri kanan balai. Para hulubalang pula akan berdiri di hadapan balai dengan memikul pedang (Sulalatus Salatin, hal 75). Sementara itu segala perkakas diraja seperti ketur, kendi dan kipas juga diatur mengikut ketetapan tertentu. Pedang kerajaan pua dipikul sama ada oleh Seri Bija Diraja atau laksamana sendiri.
Kerajaan Melaka juga menetapkan adat istiadatnya yang tersendiri dalam memeberikan gelaran kepada seseorang. Sekiranya seseorang itu dianugerahkan gelaran “Seri”, dia akan dijemput oleh orang besar-besar. Bagi gelaran-gelaran yang kecil pula dijemput oleh orang-orang yang lebih rendah pangkatnya. Jika anugerah yang dikurniakan itu besar, maka dia akan diarak dengan kuda atau hanya berjalan sahaja. Mereka juga akan diiringi dengan payung, gendang dan serunai . (Sulalatus Salatin, halaman 76). Begitulah juga dengan alat penganugerahan persalinan kepada seseorang. Bentuk persalinan ditetapkan berdasarkan kedudukan dan pangkat penerimanya. Persalinan yang paling lengkap diperuntukkan bagi Bendahara. Ini diikuti anak-anak raja dan menteri. Kemudian barulah para hulubalang. Adat menjemput dan menghantar pulang gologan yang akan menerima persalinan ini juga telah ditetapkan. (Sulalatus Salatin, halaman 77).
Di samping itu, terdapat juga adat bagi menerima utusan atau bingkisan dari luar negeri. Ia bergantung kepada kebesaran kerajaan yang menghantar utusan tersebut dan hubungannya dengan Melaka. Sekiranya utusan tersebut datang dari Pasai atau Haru , ia akan dijemput dengan penuh istiadat dan segala alat kerajaan seperti gendang, serunai , nafiri dan diarak dengan payung putih dan gajah. Hal ini demikian kerana raja daripada kedua-dua buah negeri ini sama darjatnya dengan raja Melaka (Sulalatus Salatin, halaman 76). Sekiranya utusan tersebut datang dari negeri-negeri lain, penghormatannya dikurangkan sedikit. Ia hanya diiringi dengan gendang dan serunai sahaja. Sulalatus Salastin juga memberi gambaran yang jelas tentang adat yang terlibat ketika mengiringi raja. Sebagai contoh, apabila raja berangkat pada hari Raya baginda akan menaiki usungan. Penghulu Bendahari akan memegang kepaala usungan di sebelah kanan manakala Laksamana pula memegang bahagian kirinya. Semua menteri yang mengiringi baginda akan memegang usung tersebut pada bahagian belakang. Rombongan tersebut akan didahului para hulubalang yang memegang lembing, diikuti betara yang memegang pedang kerajaan dan diikuti alat-alat bunyian seperti gong dan gendang. Sekiranya baginda menaiki gaja pula, Temenggung akan berada di bahagian buntutnya. Betara pula akan memikul pedang kerajaan. (Sulalatus Salatin, hal 77-78).
Kebanyakan adat istiadat dan pantang larang tersebut meupakan protokal yang terlibat dalam hubungan raja dengan rakyat serta raja dengan pemerintah. Tujuaan ketetapan atau protokol ini adalah untuk memastikan martabat dan memberikan identiti yang tersendiri kepada golongan diraja, Protokol ini juga berfungsi untuk membezakan darjat dan kedudukan golongan yang memerintah daripada yang diperintah. Hakikatnya, dalam mana-mana karya agung, termasuklah Sulalatus Salatin sendiri, tidak akan ditemui takrif Melayu secara tersurat, secara nyata dan terang-terangan. Misalnya melalui pernyataan seperti ‘Orang/bangsa Melayu ialah…’’ dan sebagainya. Yang ditemui di dalam karya-karya tersebut hanya dimensi takrif Melayu secara tersirat. Maksudnya di sini, takrif Melayu dalam karya agung hanya dicari dan harus dijejaki secara berhati-hati di sebalik setiap kalimat dan ayat yang digunakan oleh pengarang tersebut.
ASAL USUL MELAYU
Banyak teori tentang asal usul orang Melayu yang telah dikemukakan. Antaranya, pertama bangsa Melayu berasal dari Tanah Besar Asia Tenggara. Pendapat ini banyak diberikan oleh pengkaji dari Barat. H. Kern misalnya menyatakan bahawa penduduk di Kepulauan Asia Tenggara berasal dari Assam, di bahagian timur negara India. Beliau membuat kesimpulan sedemikian lantaran terdapat persamaan adat resam beberapa suku di Sumatera dan Borneo dengan suku di Assam seperti suku Naga di India. Kedua, Henry Yule berpendapat seperti J.R Logan, iaitu tentang wujudnya persamaan adat resam antara penduduk di daratan Asia Tenggara dengan yang terdapat di Kepulauan Melayu. Persamaan ini menunjukkan bahawa mereka adalah daripada keturunan yang sama. Berdasarkan teori-teori yang dibuat oleh pengkaji dari barat kita boleh membuat kesimpulan bahawa mereka boleh dikatakan sepakat mengatakan bahawa penduduk Kepulauan Asia Tenggara hingga ke Lautan Teduh berasal dari Tanah Besar Asia Tenggara namun, tidak dapat dipastikan tempatnya. Ada yang mengatakan dari Yunnan, di barat daya negeri China, ada yang mengatakan dari Assam, India, dan ada juga yang mengatakan dari Asia Tenggara.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), asal usul bermaksud ‘salasilah’ dan ‘keturunan’. Asal usul Melayu merujuk kepada kajian tentang salasilah atau keturunan bangsa Melayu. Walaupun sudah ada beberapa kajian telah dilakukan terhadap asal usul bangsa Melayu namun, kata sepakat oleh para pengkaji masih lagi belum tercapai. Setakat ini ada dua pandangan yang telah dikemukakan. Pandangan yang pertama menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal daripada utara (Asia Tengah) manakala, pandangan yang kedua pula menyatakan bahawa bangsa Melayu sudah sedia ada di Kepulauan Melayu atau Nusantara ini. Melayu merujuk kepada mereka yang bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam orang Melayu. Perkataan Melayu mungkin berasal daripada nama sebuah anak sungai yang bernama Sungai Melayu di hulu Sungai Batang Hari, Sumatera. Selain itu, di sana juga terletaknya ‘Kerajaan Melayu’ sekitar 1500 tahun dahulu sebelum atau semasa adanya Kerajaan Srivijaya. Terdapat juga beberapa pendapat yang menyatakan perkataan ‘Melayu’ itu berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu ‘Malaya’ yang bermaksud ‘bukit’ atau ‘tanah tinggi’ dan ada juga sumber sejarah yang menyatakan bahawa ‘Melayu’ berasal dari ‘Sungai Melayu’ di Jambi. Menurut Perlembagan Malaysia, istilah ‘Melayu’ hanya merujuk kepada seseorang yang berketurunan Melayu dan menganut agama Islam. Oleh itu, boleh dikatakan bukan semua orang yang berketurunan daripada nenek moyang Melayu adalah orang Melayu. Di samping itu, istilah ‘Melayu’ merujuk kepada nama bangsa atau bahasa iaitu sesuatu perkembangan yang baru dari segi sejarah setelah adanya Kesultanan Melayu Melaka.
Terdapat dua hipotesis yang diutarakan oleh ahli arkeologi dan ahli linguistik untuk mendapatkan kepastian tentang tempat asal penutur bahasa Melayu. Hipotesis yang diutarakan oleh pengkaji-pengkaji tersebut menyatakan bahawa tempat asal penutur bahasa Melayu adalah di kawasan Asia Tengah dan kawasan Nusantara. Menurut teori kawasan Asia Tengah menyatakan bahawa orang Melayu berasal dari Selatan China. Ada juga yang berpendapat bahawa mereka datang dari Indo-China atau Yunan atau Burma. Perpindahan kelompok dari utara ke selatan ini berlaku dalam dua kumpulan iaitu kumpulan Melayu Proto dan kumpulan Melayu Deutro. Kelompok pertama nenek moyang orang Melayu dikatakan datang dari Yunan, China. Mereka mengembara ke Nusantara sejak SM 2,500 dan menjadi penduduk asal Nusantara. Orang yang datang dari Yunan ini dikenali sebagai orang Melayu Proto atau Melayu Kuno. Mereka mempunyai peradaban yang lebih maju daripada orang Negrito iaitu mempunyai kemahiran dalam bercucuk tanam, membuat barang pecah belah, dan alat perhiasan Kemudian, kira-kira tahun SM 1500, kelompok kedua pula datang ke Nusantara dari Asia Tengah. Mereka dikenali sebagai orang Melayu Deutro atau Melayu Moden. Mereka menduduki daerah-daerah yang subur di pinggir-pinggir pantai Nusantara.
Kedatangan orang Melayu Deutro ini dengan sendirinya telah menyebabkan orang-orang Melayu Proto terpaksa berpindah ke gunung-gunung dan hutan rimba di pedalaman sekali gus menyebabkan orang Melayu Proto ini berpecah-pecah kepada beberapa kelompok, iaitu orang-orang Jakun, Orang Laut, Orang Kanak, Temuan, Biduanda dan beberapa kelompok lain. Berlainan dengan Melayu Proto, Melayu Deutro ini hidup secara berkelompok dan menetap di sesuatu tempat. Terdapat sebahagian daripada mereka yang tinggal tepi pantai dan hidup sebagai nelayan dan sebahagian lagi mendirikan kampung berhampiran dengan sungai dan lembah yang subur. Orang Melayu Deutro ini lebih tinggi kebudayaan dan tamadunnya walaupun masih menggunakan batu untuk membuat kapak, beliung dan lain-lain.
Masalah yang timbul daripada teori ini ialah sekiranya orang Melayu Proto dan Melayu Deutro ini baru sampai di Kepulauan Asia Tenggara pada tahun 2000 hingga 5000 tahun yang lalu, jadi bangsa apakah yang tinggal di Kepulauan Asia Tenggara sebelumnya? Mengikut temuan arkeologi dan tinggalan sejarah terdapat manusia yang telah lama tinggal di Kepulauan Asia Tenggara. Kedua, selain orang Melayu Proto dan Melayu Deutro, terdapat manusia yang datang dari kumpulan manusia Melanesoid yang tidak sama dengan Melayu Proto dan Melayu Deutro. Contohnya, ialah seperti penduduk Andaman di Nicobar, orang Negrito di Semenanjung dan penduduk Maluku serta Irian Jaya dan Melanesia. Seterusnya yang ketiga, terdapat kepelbagaian jenis bahasa di Kalimantan dan juga di Pulau Irian. Keadaan ini membuktikan bahawa kedua-dua tempat ini menjadi kawasan pusat dua jenis bahasa yang berlainan. Hal ini bermakna tempat itu adalah daerah induk bahasa yang berlainan.
Namun demikian, terdapat para pengkaji yang tidak bersetuju bahawa kelompok Melayu berasal dari Asia Tengah. Jadi, mereka telah mengemukakan satu lagi hipotesis. Mereka berpendapat orang Melayu tidak datang dari luar tetapi memang telah wujud di Nusantara. Bukti yang pertama berdasarkan kajian bahasa yang merujuk kepada keakraban antara bahasa Austronesia. Menurut William Marsden, bahasa Melayu mempunyai keakraban dengan bahasa Polinesia, Melanesia dan Mikronesia. Persamaan ini dapat dilihat dari segi bentuk kata dan struktur bahasa. Bukti yang kedua ialah berdasarkan kajian kebudayaan. Seorang sarjana Inggeris, John Crawfurd mendapati tanah asal orang Melayu ialah Sumatera dan Jawa kerana kedua-dua kawasan menunjukkan perkembangan kebudayaan yang sangat menonjol berbanding dengan kawasan-kawasan lain di Nusantara. Bukti yang ketiga ditinjau dari sudut geografi iaitu dari zaman Pilosen hingga zaman Pleistosen, Nusantara yang merupakan sebuah daratan yang luas yang dikenali sebagai Pentas Sunda manakala Pentas Sahul ialah Australia dan New Guinea. Pencairan glasier telah menyebabkan beberapa wilayah terpisah dan berlaku juga perpindahan kelompok masyarakat dari satu daratan ke satu daratan. Hal ini membuktikan perpindahan manusia bukan dari Asia Tengah tetapi penduduk asal Nusantara.
John Crawfurd membuat kajian perbandingan bahasa yang ada di Sumatera, Jawa, Kalimantan dan kawasan Polinesia. Beliau berpendapat bahawa asal bahasa yang tersebar di Nusantara ini berasal daripada bahasa di Pulau Jawa dan bahasa yang berasal dari Pulau Sumatera. Beliau juga menambah hujahnya dengan bukti bahawa bangsa Melayu dan bangsa Jawa telah memiliki taraf kebudayaan yang tinggi pada abad kesembilan belas. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah mengalami perkembangan budaya beberapa abad lamanya. Beliau membuat kesimpulan bahawa orang Melayu itu tidak berasal dari mana-mana tetapi merupakan induk yang menyebar ke tempat lain.
ETIMOLOGI MELAYU
Etimologi ialah cabang ilmu linguistik yang mempelajari asal-usul suatu kata. Perkataan etimologi itu sendiri sebenarnya diambil daripada bahasa Belanda iaitu etimologie yang berasal dari bahasa Yunani, etymos yang bermaksud kata, dan logos yang bermaksud ilmu. Namun begitu, beberapa kata telah diambil daripada bahasa lain, dan telah diubah dalam bentuk kata yang asal iaitu seperti etimom. Seterusnya, etimologi juga cuba untuk membina semula maklumat mengenai bahasa-bahasa yang sudah lama untuk memungkinkan mendapat semula maklumat langsung mengenai bahasa tersebut untuk diketahui, misalnya melalui tulisan.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), etimologi merupakan cabang linguistik yang mengkaji asal usul perkataan dan perkembangan sesuatu kata. Selain itu, etimologi juga bermaksud kajian asal usul dan sejarah sesuatu perkataan serta makna perkataan tersebut. Disamping itu, mengikut Pusat Rujukan Persuratan Melayu pula menyatakan kata etimologi itu sebagai cabang ilmu bahasa mengenai asal usul perkataan serta perubahan pada bentuk dan maknanya ataupun cabang ilmu linguistik yang mengkaji asal usul dan perkembangan sesuatu kata.Penggunaan istilah Melayu merujuk kepada kerajaan Melayu. Sebagai contoh, perkataan melayu dari aspek etimologi berasal daripada pelbagai perkataan yang membawa maksud yang berbeza. Antaranya, ada yang beranggapan bahawa perkataan Melayu berasal daripada perkataan Himalaya yang terdiri daripada dua perkataan iaitu “hima alaya”. “Hima bermaksud salji, manakala “alaya” bermaksud tempat, oleh hal yang demikian kata “himalaya” membawa maksud tempat bersalji atau tempat sejuk seperti di puncak gunung yang tinggi.
Selain itu, perkataan melayu juga dikatakan berasal daripada perkataan Malayapura, iaitu bermaksud “kota melayu” atau “kerajaan melayu”. Disamping itu, perkataan melayu juga dikatakan diambil daripada perkataan bahasa Jawa kuno, iaitu perkataan Mlayu, yang membawa maksud “mengembara” atau “pergi ke mana-mana”. Hal ini demikian kerana, perkataan “mengembara” itu dikatikan dengan orang Melayu yang suka berpindah randah dari Yunan ke kawasan Selatan. Selain itu, ada juga yang mengatakan bahawa perkataan melayu itu berasal daripada perkataan ‘pamalayu’, iaitu sempena dengan peristiwa ketika berlaku penyerangan oleh Raja Kertanegara dari Singhasari Jawa Timur di Hulu Jambi di sempadan Sumatera Barat. Kemudian di situ dibina sebuah prasasti, iaitu prasasti Amoghapasa. Prasasti tersebut dibina sebagai peringatan tentang berlakunya ekspedisi melayu, iaitu penyerangan dan seterusnya penguasaan terhadap negeri Malayu. Di samping itu, ada juga pendapat lain yang mengatakan bahawa perkataan Melayu berasal daripada perkataan Jawa Kuno dan Jawa Baru, iaitu Mlaya dan Mlayu yang membawa maksud lari.Nama Melayu sebagai bahasa dan bangsa boleh dikatakan baru muncul setelah wujud Kerajaan Melayu Melaka. Orang cina pada zaman awal telah menulis segala peristiwa yang berlaku di Timur termasuk di Asia Tenggara, menamakan penduduk Asia Tenggara sebagai bangsa ‘kun L’un’ dan bahasanya juga ialah bahasa Kun L’un. Sejarah awal yang membuktikan sebab mereka memanggil orang di asia tenggara dengan gelaran Kun L’un, namun begitu menurut Profesor Liang Liji, nama Kun L’un diambil sempena nama gunung dalam bahasa cina kerana pada masa dahulu orang cina belayar ke laut selatan telah singgah di tempat yang didiami oleh orang melayu di asia tenggara, dan secara kebetulan di tempat-tempat tersebut terdapat gunung-gunung, contohnya seperti Gunung Daik, Gunung Jerai, Bukit Sigantang dan sebagainya.
Namun begitu, terdapat juga teori lain yang mengatakan tentang asal usul perkataan Kun L’un. Dalam teori tersebut dikatakan bahawa perkataan Kun L’un berasal daripada perkataan Kundur, iaitu nama sebuah pulau di Sungai Mekong di Vietnam Selatan. Pulau Kundur atau biasa dieja sebagai Pulo Condor dalam tulisan orang Barat disebut orang Cina sebagai Kun L’un kerana pelat orang cina yang tidak boleh menyebut secara betul. Pada masa dahulu orang melayu pernah menduduki pulau ini bahkan juga di beberapa tempat lain di pantai Vietnam selatan hingga ke Vietnam tengah seperti di pandurangga, dharawati, dan Phanrang.Mereka ini belayar di kawasan Asia Tenggara, terutama di daerah kepulauan dan juga di pantai-pantai daratan Asia Tenggara. Orang cina yang datang dari utara telah bertembung dan berjumpa dengan orang melayu ini di Pulo Condor. Kemudian mereka menamakan penduduk di kawasan itu sebagai kundur atau pelatnya Kun L’un. Nama Kun L’un bukan sahaja diberikan kepada penduduk Pulau Kundur, bahkan juga kepada orang yang datang dari selatan, terutama kepulauan Asia Tenggara. Hal ini demikian kerana, bahasa dan kebudayaan serta adat resam mereka adalah sama. Dengan itu panggilan Kun L’un adalah untuk orang melayu dan panggilan ini telah wujud sejak zaman dahulu lagi.
Di samping itu, terdapat istilah lain yang digunakan untuk menggambarkan asal usul perkataan melayu itu. Misalnya, menurut catatan orang cina yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan mo-lo-yeu mengirimkan utusan ke Negara china untuk mempersembahkan hasil bumi kepada Raja China. Selain itu, istilah “mo-lo-yu” juga dicatat dalam buku catatan perjalanan pengembara Cina pada sekitar tahun 644-645 Masihi semasa zaman Dinasti Tang. Para pengkaji bersependapat bahawa perkataan “Mo-lo-yu” yang dimaksudkan itu ialah kerajaan yang terletak di Jambi di Pulau Sumatera, serta juga Sriwijaya yang terletak di daerah Pelembang. M. Ptolemy menggunakan istilah maleu-kolon dalam karyanya yang berjudul geographike sintaxis. Manakala, satu lagi catatan orang china ialah catatan rahib Buddha yang bernama I- Tsing yang menggunakan kata nama ma-lo-yu sempenan dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 masihi iaitu kerajaan melayu di sungai batang dan kerajaan sriwijaya di Palembang. Seterusnya, Van der Tuuk menyatakan bahawa perkataan melayu bererti “menyeberang” yang merujuk kepada orang melayu yang menyeberang atau menukar agama daripada agama Hindu- Buddha kepada islam.
Selain itu, nama Melayu juga diambil sempena dengan sebatang sungai. Ini dibuktikan dengan terdapat satu petikan yang terdapat dalam karya Muhammad Haji Salleh (1997), berbentuk;
“Alkisah maka tersebutlah perkataan ada sebuah negeri di tanah Andalas, Palembang namanya, Demang Lebar Daun na(ma) rajanya. Asalnya daripada anak cucu Raja Sulan juga. Muara Tatang nama sungainya. Maka di hulu Muara Tatang itu ada sebuah sungai, Melayu namanya. Dalam sungai itu ada sebuah Bukit, Seguntang Mahameru namanya”.
( Sulalat al- Salatin : halaman 20)
Walaupun Tun Sri Lanang sendiri tidak mengatakan bahawa perkataan “Melayu” itu asalnya dari nama sebatang sungai, sebaliknya hanya sekadar ingin mengatakan terdapat sebatang sungai disana yang terdapat di Andalas, Palembang. Namun, secara tidak langsung beliau telah memberikan gambaran kepada masyarakat pada masa kini tentang keberadaan nama atau perkataan “Melayu” itu serta usia perkataan tersebut walaupun tidak secara terperinci. Selain itu, istilah perkataan Melayu juga dikenali sebagai Malaya dvipa juga muncul dalam kitab Purana, iaitu sebuah kitab Hindu purba, yang ditulis sebelum zaman Gautama Buddha sehingga 500 Masihi. Dvipa bermaksud “tanah yang dikelilingi air” dan berdasarkan maklumat-maklumat yang lain dalam kitab itu, para pengkaji beranggapan bahawa Malaya dvipa ialah Pulau Sumatera.
Seterusnya, terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa perkataan ‘Melayu’ berasal daripada perkataan Malaju. Perkataan tersebut dikatakan berasal daripada kata dasar laju yang bermaksud cepat, deras, dan tangkas. Melalui perkataan Malaju itu dapat digambarkan ciri-ciri orang Melayu yang bersifat tangkas, cergas, dan segala tindak-tanduknya cepat dan deras. Oleh itu, penaksiran orang Melayu dan asal usul orang Melayu merupakan sesuatu yang sukar, dan secara keseluruhannya terdapat pelbagai andaian tentang asal usul perkataan Melayu dari pelbagai aspek, peristiwa dan juga pengalaman peribadi. Namun begitu, sejauh mana kesahihannya tidak dapat dipastikan kerana masyarakat pada zaman dahulu suka mengembara dan menjadikan alam sekeliling sebagai medium bagi menggambarkan sesuatu.
KONSEP KARYA AGUNG
Perkataan karya menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1997), membawa maksud buatan atau ciptaan sesuatu, manakala perkataan agung pula membawa maksud paling besar, terutama, tertinggi, teristimewa dan terkemuka. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa karya agung ialah ciptaan atau buatan yang terutama, tertinggi dan teristimewa daripada seseorang pengarang.
Karya agung mempunyai makna yang sejajar dengan karya unggul. Karya agung merupakan sebuah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Sesebuah karya agung yang diciptakan oleh masyarakat terdahulu melambangkan keunggulan daya cipta yang tinggi bangsa itu dalam usaha membentuk tradisi dan identiti tersendiri. Peninggalan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah masyarakat tamadun terdahulu seperti tamadun Yunani, tamadun China dan lain-lain, masih digunakan sehingga hari ini. Malahan, peninggalan khazanah itu dapat dilihat melalui karya-karya seni, pemikiran tokoh-tokoh sesuatu bangsa, sastera dan sebagainya. Hal inilah menunjukkan perbezaan tradisi dan identiti sesebuah bangsa.
Mahakarya dalam Glosari Istilah Kesusasteraan (1988: 184) dalam (Mana Sikana: ) mendefinisikan karya agung sebagai karya besar atau karya agung yang lahir pada sesuatu zaman, mengagumkan karya dan terbaik. Karya unggul ialah karya hasil daripada idea-idea dan pengalaman yang dicernakan dengan keberanian dan kebijaksanaan yang berisi dengan daya intelek serta daya kreativiti yang tinggi. Karya ini merupakan puncak kejayaan kreativitinya dan akan menjadi contoh karya paling unggul dari segi penciptaannya. Misalnya, dalam tradisi Cina, lukisan mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan kaligrafi serta puisi. Kebanyakan pelukis yang ada pada tamadun China bukan sahaja mahir melukis tetapi juga merupakan sarjana dan pakar kaligrafi antaranya Su Dongpo (1037-1101) pada zaman dinasti Song. Pada kebiasaannya, sesebuah puisi akan ditulis pada sudut atau ruangan kosong yang terdapat pada lukisan. Hal ini bertujuan untuk melahirkan kesatuan di antara puisi, kaligrafi dan lukisan. Sebuah lukisan Cina merupakan kombinasi antara puisi, kaligrafi, lukisan dan juga seni ukir cap (seal engraving). Lukisan seperti ini dianggap sebagai sebuah karya unggul mahupun karya agung yang diwarisi melalui karya seni.
Bangsa Melayu juga tidak ketinggalan dalam menghasilkan karya-karya yang unggul yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh bahasa yang terdahulu. Karya agung Melayu merupakan sebuah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta dan hasil kreativiti seniman, penulis serta tokoh pemikir bangsa Melayu pada zaman dahulu dalam usaha menggambarkan idea, nilai pandangan hidup, adat, budi, kesedaran dari segi agama dan moral dan visi bangsa dan masyarakat Melayu melalui bentuk-bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga mampu meninggalkan kesan dari aspek seni, budaya serta falsafah yang kekal sehingga kini. Karya agung Melayu dapat dilihat sama ada melalui tinggalan hasil penulisan mahupun lisan. Masyarakat Melayu banyak menghasilkan karya secara lisan. Hal ini disebabkan oleh kekangan terhadap kemahiran menulis. Mereka lebih gemar menyampaikan sesuatu melalui lisan berbanding tulisan. Sebagai contoh, karya agung Melayu yang dihasilkan secara lisan oleh masyarakat Melayu dahulu kala seperti pepatah, pantun, lipur lara dan lain-lain lagi dalam bahasa Melayu tanpa mengira kelompok bangsa dan etnik dalam kawasan dunia Melayu, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu atau orang Melayu Brunei dan sebagainya yang menghasilkan karya-karya tersebut. Penggunaan bahasa yang indah dalam pengucapan bertujuan untuk memberi nasihat secara terbuka di samping menjaga hati orang yang mendengar. Misalnya seperti pantun berikut;
Angin teluk menyisir pantai,
Hanyut rumpai di bawah titi;
Biarlah buruk kain dipakai,
Asal pandai mengambil hati.
Buah pelaga makan dikikir,
Dibawa orang dari hulu;
Sebarang kerja hendak difikir,
Supaya jangan mendapat malu.
Hendak belayar ke Teluk Betong,
Sambil mencuba labuhkan pukat;
Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat.
(Diperoleh daripada http://mypantun.blogspot.com/2009/01/pantun-nasihat.html)
Dalam buku Pengenalan Konsep dan Gagasan Karya Agung Yayasan Karyawan (2000), membahaskan serta memberikan definisi tentang karya agung Melayu. Karya agung Melayu ditakrifkan sebagai karya agung sebagai karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, budaya dan pemikiran yang luar biasa dalam tamadun atau tradisi sesuatu bangsa. Karya itu dianggap sebagai warisan bangsa dalam erti kata ia mewakili minda dan pengalaman bersama (kolektif) bangsa itu sepanjang zaman sebagaimana yang dipancarkan dalam sistem kepercayaan, falsafah hidup, tradisi atau konsep ilmu, adat, bahasa, seni dan pekerti, budaya dan sosial yang membentuk citra atau identiti ketamadunan dan nilai kemanusiaan semestinya hadir dalam karya agung Melayu.
Malah terdapat karya agung Melayu tradisional yang dijadikan penetapan penentuan karya agung Melayu yang dianggap sebagai hasil kreativiti seni persuratan dan penceritaan, dan sebagai pembentuk tradisi atau tamadun bangsa sehingga kesannya kekal dalam kesedaran kebangsaan bangsa Melayu sepanjang zaman. Beberapa karya kesusasteraan Melayu tradisional yang diterbitkan secara edisi mewah yang telah menepati ciri-ciri karya agung seperti Sulalat-al-Salatin, Hikayat Merong Mahawangsa, Tuhfat-al-Nafis dan Hikayat Hang Tuah. Ciri-ciri karya agung yang dimaksudkan adalah lambang atau pesanan yang disampaikan oleh karya itu. Lambang atau pesanan yang disampaikan berupa seperti nilai seni budaya dan falsafah atau pandangan hidup sesebuah bangsa, nilai ilmu iaitu teknik kepengarangan dan seni bahasa. Semua karya tersebut memperlihatkan tahap keunggulan kreativiti, seni persuratan dan nilai budaya tinggi sehingga mampu memegang anugerah sebagai karya agung Melayu.
Konsep karya agung Melayu yang bersifat penulisan seperti Sulalat-al-Salatin, Hikayat Merong Mahawangsa, Tuhfat-al-Nafis dan Hikayat Hang Tuah. Misalnya, Hikayat Hang Tuah yang merupakan sebuah karya yang sangat berpengaruh. Hikayat Hang Tuah ialah epik melayu yang menceritakan tentang cita-cita, kebolehan dan sikap orang-orang Melayu pada zaman dahulu. Hikayat ini menonjolkan watak Hang Tuah merupakan seorang laksamana yang unggul serta pahlawan Melayu yang gagah semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah di Melaka pada abad ke-15. Laksamana Hang Tuah ialah seorang yang berhati waja, berani, gagah, taat dan bijaksana. Walaupun berbeza-beza corak penceritaan, kepahlawanan Hang Tuah tetap ada dan sering menjadi simbol kekuatan masyarakat Melayu.
Antara falsafah yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ialah Hang Tuah diibaratkan sebagai nadi kekuatan yang menjadi pujaan masyarakat terutamanya Melayu disebabkan oleh keberanian dan budi pekerti beliau sebagai laksamana. Penonjolan Hang Tuah sebagai seorang yang kuat, gagah serta berani merupakan satu makna falsafah yang sengaja ditonjolkan oleh penulis sebagai salah satu lambang kekuatan kepada masyarakat Melayu itu sendiri. Sebenarnya, dalam Hikayat Hang Tuah, perlambangan Hang Tuah itu sendiri merupakan satu falsafah yang telah digerakkan dengan pelbagai keistimewaan yang tersendiri dan memiliki pelbagai kelebihan. Segala tindak tanduk Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah memiliki makna yang tersendiri serta yang tersirat.
Dalam Hikayat Hang Tuah juga banyak menceritakan tentang kebudayaan dan sosial masyarakat Melayu yang membawa satu pengertian yang luas merangkumi segala hal berkaitan dengan masyarakat Melayu dahulu termasuk sistem sosial, struktur sosial, bentuk kepercayaan, perhubungan antara anggota masyarakat dan strategi sosial, kepercayaan dan agama juga merupakan dua aspek sosial yang menjadi pegangan masyarakat Melayu dahulu. Masyarakat pada masa itu menganuti agama Islam dan mengamalkan dua bentuk kepercayaan (bukan agama), iaitu berunsurkan animisme dan Hindu-Buddha. Idealisme yang dimiliki oleh pengarang Hikayat Hang Tuah ini sangat tinggi dan penghasilan karya ini bertujuan untuk mengangkat martabat bangsa Melayu setinggi mungkin.
Secara kesimpulannya, sesebuah karya yang unggul dan agung mestilah dihasilkan melalui daya pemikiran dan imaginasi yang tinggi oleh pengarang. Karya agung merupakan satu lambang keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, dapatlah diketahui bahawa takrif Melayu yang disebut dalam Sejarah Melayu, iaitu perkataan Melayu dikaitkan dengan sebatang sungai. Oleh itu, jelaslah bahawa nama Melayu itu diambil sempena sebatang sungai iaitu sungai Melayu seperti yang disebut dalam sejarah Melayu. Seterusnya, asal-usul Melayu dapat dilihat melalui beberapa teori, antaranya bangsa Melayu berasal dari Tanah Besar Asia Tenggara. Pendapat ini banyak diberikan oleh pengkaji dari Barat. H. Kern misalnya menyatakan bahawa penduduk di Kepulauan Asia Tenggara berasal dari Assam, di bahagian timur negara India. Beliau membuat kesimpulan sedemikian lantaran terdapat persamaan adat resam beberapa suku di Sumatera dan Borneo dengan suku di Assam seperti suku Naga di India manakala, Henry Yule pula berpendapat sama seperti J.R Logan, iaitu tentang wujudnya persamaan adat resam antara penduduk di daratan Asia Tenggara dengan yang terdapat di Kepulauan Melayu. Etimologi Melayu pula menjelaskan tentang perkataan Melayu dari aspek etimologi berasal daripada pelbagai perkataan yang membawa maksud yang berbeza. Antaranya, ada yang beranggapan bahawa perkataan Melayu berasal daripada perkataan Himalaya, Malayapura, iaitu bermaksud “kota Melayu” atau “kerajaan Melayu”. Di samping itu, perkataan Melayu juga dikatakan diambil daripada perkataan bahasa Jawa kuno, iaitu perkataan Melayu, yang membawa maksud “mengembara” atau “pergi ke mana-mana”. Karya agung Melayu bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan (pepatah, pantun, lipur lara dan lain-lain) dalam bahasa Melayu tanpa mengambil kira kelompok mana bangsa/etnik dalam kawasan dunia Melayu ini.
