top of page





KARYA AGUNG MELAYU IALAH KARYA YANG MELAMBANGKAN KEUNGGULAN DAYA CIPTA SENIMAN, PENULIS DAN PEMIKIR BANGSA MELAYU DALAM MENGGAMBARKAN IDEALISME, NILAI, PANDANGAN HIDUP, ADAT, BUDI, KESEDARAN MORAL DAN VISI BANGSA DAN MASYARAKATNYA MELALUI BENTUK SASTERA DAN SENI YANG TINGGI NILAINYA SEHINGGA KESAN SENI, BUDAYA DAN FALSAFAH KEKAL SEPANJANG ZAMAN DALAM MINDA KOLEKTIF BANGSA MELAYU.
NILAI AGAMA, NILAI ADAT DAN NILAI KEPAHLAWANAN YANG TERKANDUNG DALAM HIKAYAT AMIR HAMZAH
Abstrak
Di dalam Hikayat Amir Hamzah terdapat beberapa nilai yang dikaji, misalnya nilai agama, nilai adat, nilai kepahlawanan dan terdapat juga nilai-nilai lain yang boleh diteliti. Nilai agama misalnya, memfokuskan kepada ajaran dan larangan dalam agama Islam. Nilai adat pula menceritakan tentang nilai kebudayaan bangsa kita yang telah direkodkan dalam sastera epik berunsur Islam ini. Terakhir, nilai kepahlawanan yang menceritakan tentang sifat-sifat keperwiraan yang sesuai bagai watak Amir Hamzah dalam Hikayat Amir Hamzah. Amir Hamzah mempunyai sifat kepahlawanan seperti gagah, berani, bijak, adil, tepati janji dan sebagainya.
1.0 Pengenalan
Bahasa Melayu mencapai zaman kegemilangannya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, iaitu antara tahun 1400 hingga 1511 Masihi. Bahasa Melayu digunakan sebagai lingua franca, iaitu digunakan untuk tujuan perhubungan antarabangsa. Hal ini disebabkan oleh, Melaka yang berfungsi sebagai pusat perdagangan dunia suatu ketika dahulu. Oleh itu, tidak hairanlah bahasa Melayu telah mencapai zaman kegemilangan yang sangat agung pada zaman tersebut. Pada abad ini juga, agama Islam sudah mula menapak di kawasan Nusantara. Oleh itu, perkembangan penulisan bercorak keagamaan sangat pesat membangun. Penghasilan karya dalam bahasa Melayu yang telah diterjemahkan daripada bahasa Arab dan Parsi telah dilakukan oleh para ulama. Antara hasil karya yang wujud pada abad tersebut yang berunsur keagamaan ialah Hikayat Iskandar Zulkarnian, Hikayat Muhammad Ali Hanafiah dan Hikayat Amir Hamzah. Ketiga-tiga karya agung berbahasa Arab Parsi ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Hikayat Amir Hamzah merupakan sebuah karya yang menceritakan tentang kegagahan dan kepahlawanan serta keperwiraan pejuang Islam yang bernama Amir Hamzah. Semasa Portugis menyerang Melaka pada tahun 1511, Sultan Melaka telah membacakan hikayat ini kepada perajurit dan hulubalang Melaka untuk menaikkan semangat pahlawan Melayu. Selain itu, Hikayat Amir Hamzah juga merupakan sebuah karya yang disebut dalam Sejarah Melayu. Justeru, Hikayat Amir Hamzah ini merupakan sebuah karya agung Melayu.Karya agung Melayu ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu laka dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu (Yayasan Karyawan: http://www.yayasankaryawan.com/index.php?option=com_content&task=view&id=6&Itemid=1).
2.0 Objektif kajian
2.1 Mengkaji nilai agama yang terdapat dalam Hikayat Amir Hamzah.
2.2 Mengkaji nilai adat yang terkandung dalam Hikayat Amir Hamzah.
2.3 Mengkaji nilai-nilai kepahlawanan tokoh Islam, iaitu Amir Hamzah.
3.0 Kepentingan kajian
Kajian tentang teks sastera, iaitu Hikayat Amir Hamzah dapat meneliti secara lebih mendalam kandungan cerita yang ditulis di dalam karya tersebut. Penelitian terhadap aspek nilai-nilai agama, adat dan nilai kepahlawanan yang ada pada Amir Hamzah dapat memberikan pengajaran dan ilmu baharu kepada masyarakat untuk digunakan dalam kehidupan seharian. Sekiranya kita tidak mendalami ilmu atau nilai-nilai yang terkandung dalam karya-karya agung terdahulu, nescaya kita kehilangan dan amatlah rugi kerana tidak menyelongkar khazanah tinggalan nenek moyang yang sangat bernilai.
4.0 Metodologi kajian
Dalam menyiapkan tugasan individu ini, saya telah menggunakan kaedah atau metodologi kajian dengan mendapatkan bahan-bahan rujukan di Perpustakaan Tunku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Selain itu, saya turut membuat rujukan di laman sawang Yayasan Karyawan, blog-blog sastera, jurnal-jurnal, tesis dan sebagainya untuk mendapatkan maklumat tentang Hikayat Amir Hamzah. Seterusnya, saya juga membuat rujukan dengan menanyakan beberapa soalan dan pandangan tentang tajuk tugasan kepada pensyarah kursus, iaitu Dr. Hj. Mohd Rashid bin Hj. Md. Idris.
5.0 Dapatan kajian
Hasil kajian mendapati terdapat nilai-nilai agama, nilai adat dan nilai kepahlawanan yang ada dalam Hikayat Amir Hamzah ini. Nilai-nilai ini sangat berguna kepada kita untuk dijadikan sebagai pedoman hidup. Menurut Kamus Dewan edisi Ketiga (1997), nilai ialah darjat, kualiti, mutu dan taraf.
5.1 Nilai-nilai agama yang terdapat dalam Hikayat Amir Hamzah.
Sejajar dengan zaman penghasilan karya ini, iaitu merupakan zaman peralihan kepada agama Islam. Oleh itu, tidak hairanlah banyak karya-karya agung yang dihasilkan lebih kepada berunsurkan Islam. Pengaruh Arab Parsi sangat kuat sehingga masyarakat di kawasan Nusantara banyak menterjemahkan karya-karya Arab Parsi ke dalam bahasa Melayu untuk tujuan menyampaikan ilmu-ilmu agama serta menghayati sastera. Para pedagang yang datang dari Tanah Arab ke Nusantara mempunyai beberapa tujuan, antaranya ialah untuk berdagang dan ada juga yang datang untuk menyebarkan agama Islam. Penyebaran agama Islam bermula kepada golongan istana terutamanya raja dan pembesar. Kesediaan sultan menerima agama Islam menyebabkan rakyat jelata turut menganuti agama Islam. Justeru, pedagang dan pendakwah akan menyampaikan dakwah kepada golongan istana terlebih dahulu. Penerimaan agama Islam oleh pemerintah kerajaan memudah urusan dakwah mereka.Seterusnya, istana dijadikan sebagai pusat kegiatan ilmu. Istana merupakan tempat yang menempatkan golongan cerdik pandai seperti jurutulis, pengarang dan ulama. Oleh itu, kegiatan-kegiatan penterjemahan dan penyaduran karya sastera Arab dan Parsi dilakukan di istana.
Selain itu, istana juga dijadikan tempat menyimpan karya buku-buku hasil penulisan tempatan dan juga asing serta dijadikan tempat untuk mengadakan perbincangan dan perdebatan alim ulama tentang Islam.Kedatangan Islam telah mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu dan sistem penulisan orang Melayu khasnya. Fungsi bahasa Melayu berkembang sebagai bahasa ilmu pengetahuan, persuratan, bahasa untuk menyampaikan ilmu dan dakwah serta memperkembangkan tulisan jawi. Perkembangan bahasa inilah yang mendorong masyarakat tempatan menghasilkan karya-karya sastera sama ada karya sastera berunsur karya Melayu, karya sastera saduran dan karya sastera terjemahan seperti Hikayat Amir Hamzah ini. Hikayat Amir Hamzah merupakan sebuah karya yang berunsur keislaman. Oleh itu, hikayat ini lebih menekankan kepada kesejagatan agama Islam. Hikayat ini telah berjaya menonjolkan agama Islam sebagai agama yang bersifat universal yang boleh dianuti oleh manusia di seluruh pelosok dunia tanpa mengira bangsa, kelas dan warna kulit. Sesungguhnya agama Islam boleh menjadi pegagan setiap manusia sama ada raja mahupun hamba. Dan di sinilah kesesuaian Islam itu untuk dijadikan pegangan (Abu Hasan Sham, 1993: 272).
Sebagai sebuah karya yang bercorak keislaman, kebanyakan cerita di dalam hikayat ini menggambarkan bahawa agama Islam adalah agama yang benar dan segala perjuangan yang berlandaskan Islam dan perjuangan membela agama akan sentiasa mendapat bantuan serta pertolongan daripada Allah SWT sehingga setiap peperangan yang dilalui oleh Amir Hamzah akan memperoleh kemenangan.Hikayat Amir Hamzah ini cuba memperlihatkan ketinggian dan kemuliaan sifat Amir Hamzah sebagai wira dalam memperjuangkan agama Islam. Namun, dalam hikayat ini, pengarang turut menyelitkan cerita tentang penganut-penganut agama Islam yang mempunyai sifat-sifat yang tidak bermoral. Hal ini dapat dilihat dalam petikan berikut;
“… Apa keinginan tuan hamba itu? Katakanlah kepada hamba,” saudagar itu bertanya. Kemudian, lalu Umar Umaiyah menyembah seraya berkata, “Jika ada kasih serta rahim tuan hamba akan hamba, beri apalah kuda tuan hamba ini hamba naik barang seketika, supaya habis segala percintaan hamba, nescaya hamba pun kararlah.” Maka kata saudagar itu, “Hei darwis, jikalau engkau ingin hendak naik kuda hamba itu, pergilah naik olehmu kuda itu.” Demi Umar Umaiyah mendengar kata saudagar itu, maka ia pun segera turun, lalu ia naik ke atas kuda itu serta dipermain-mainnya hampir dengan saudagar itu. Kemudian dipancunya jauh sedikit, sudah itu dipancunya hampir sekali lagi kepada saudagar itu, akhir sekali dipancunya jauh pula daripada pandangan saudagar itu, setelah jauhlah, lalu dipecutnya menuju jalan ke Mekah…”.
(Hikayat Amir Hamzah, 1987:45)
Berdasarkan petikan di atas, kita dapat lihat bahawa pengarang menyelitkan sifat tidak bermoral oleh individu yang beragama Islam melalui watak Umar Umaiyah. Tujuan pengarang membuat demikian kerana ingin memberi pengajaran kepada kita bahawa agama sangat melarang kita melakukan perkara tidak bermoral. Tambahan pula, perlakuan Umar yang mencuri unta saudagar menunjukkan Umar Umaiyah memiliki sifat moral yang sangat rendah. Dalam agama Islam, mencuri merupakan kesalahan yang berat dan hukuman memotong tangan yang mencuri akan dikenakan terhadap individu yang melakukan aktiviti mencuri. Oleh itu, jelaslah bahawa Islam ialah agama yang membentuk penganutnya dengan keperibadian yang tinggi. Hukuman kesalahan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan demi memberi pengajaran kepada pelaku dan juga masyarakat sekeliling.Seterusnya, dalam agama Islam, sifat takbur sangat ditegah. Takbur ialah perasaan besar diri menganggap diri sendiri lebih mulia, angkuh dan lain-lain. Sifat ini memperlihatkan kelemahan diri sendiri kerana lupa akan kehebatan dan keesaan sifat Allah SWT. Selain itu, memiliki sifat takbur sangat dibenci oleh Allah kerana lupa bahawasanya segala kelebihan yang dimiliki adalah pinjaman daripada Allah SWT. Dalam Hikayat Amir Hamzah, peristiwa yang menunjukkan sifat takbur dapat dilihat dalam petikan berikut;
“Pada suatu hari, Amir Hamzah dan Umar Umaiyah berjalan-jalan melihat temasya di dalam negeri Mekah, maka keduanya pun sampai ke sebuah kampung, di situ ada orang bergusti antara orang muda-muda. Dalam antara orang muda-muda itu ada seorang muda terlalu kuat, barang siapa melawan dia semuanya alah olehnya.Tatkala itu Amir Hamzah dan Umar Umaiyah pun ada hadir melihat temasya itu. Setelah sudah orang muda itu menumpaskan lawannya, maka ia pun bertempik, katanya, “Manatah pahlawan yang kuat, gagah di dalam negeri Mekah ini, marilah bergusti dengan aku!”Maka Amir Hamzah pun bertanya kepada Umar Umaiyah; “Apa katanya orang itu”Sahut Umar, “Katanya, di dalam negeri Mekah ini seorang pun tiada sebagai gagah perkasa aku.”Ujar Amir Hamzah pula, “Aku perapakan ia ini baiknya?”Jawab Umar, “Ya Amir, tangkap kedua belah kakinya hempaskan ke bumi”…..
(Hikayat Amir Hamzah, 1987: 32)
Petikan cerita tersebut terdapat pada bab keempat Hikayat Amir Hamzah. Secara ringkasnya cerita ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang gagah tetapi malangnya memiliki sifat takbur, iaitu berbangsa dengan kegagahan yang dimiliki. Hal ini dibuktikan dengan kemenangan setiap kali bergusti dengan orang ramai. Oleh itu, Amir Hamzah yang berasa berang telah bertindak menyerang pemuda tersebut dan mengakibatkan pemuda itu mati. Apabila Khoja Abdul Mutalib mendengar berita ini, dia memarahi Umar Umaiyah kerana Umar telah menyuruh Amir membunuh orang. Namun, Umar berkata;
“Ya tuanku, bukannya salah daripada anakanda, salah orang itu juga, kerana sangat ia bercakap takbur di hadapan anakanda; sebab itulah ia merasa bekas tangan anakanda itu, baharullah ia tahu akan dirinya.” (Hikayat Amir Hamzah, 1987: 33)
Oleh itu, jelaslah bahawa agama Islam mengajar penganutnya supaya tidak mempunyai sifat bangga diri kerana akan menerima balasannya. Selain itu, nilai keagamaan yang baik dan menjadi amalan yang disampaikan oleh pengarang dalam Hikayat Amir Hamzah seperti yang ditonjolkan menerusi watak Khoja Abdul Mutalib, iaitu kesabaran dalam mendidik anak. Khoja Abdul Mutalib berasa sangat geram kerana kenakalan Amir Hamzah dan Umar Umaiyah. Oleh itu, beliau telah berbincang dengan Abas tentang permasalahan ini dan langkah yang diambil ialah menghantar Amir dan Umar kepada seorang mu’allim Sufian untuk mengajar Amir dan Umar mengaji. Nilai keagamaan ini dapat dilihat dalam petikan berikut;
“…Sahut Abas, “Pada bicara hamba, kanak-kanak ini baik kita serahkan mengaji kepada Mu’allim Sufian, supaya mu’allim itu mengajar akan dia ilmu, dan tertib pun diperolehnya, jika ia nakal biarlah mu’allim itu menghukum palu akan dia.” Maka kata Khoja Abdul Mutalib benarlah seperti katamu itu, he anakku.” (Hikayat Amir Hamzah, 1987: 38)
Dalam ajaran Islam, anak-anak adalah anugerah Allah kepada ibu bapa. Ibu bapalah yang mencorakkan perilaku anak-anak sama ada baik atau buruk. Namun, sekiranya ibu bapa tidak mampu untuk mengajar dan mendidik, maka mereka hendaklah berusaha dengan cara lain. Misalnya, Khoja Abdul Mutalib telah menghantar Amir dan Umar kepada Mu’allim Sufian untuk mendidik mereka dengan ilmu agama. Sekiranya mereka masih melakukan kesalahan, hukuman rotan atau sebagainya akan dikenakan. Contohnya pada petikan berikut;
“…Sudah itu, pengajian Umar Umaiyah pula disurat oleh Mu’allim Sufian, diajarnya pengajian Umar sekali; kemudian disuruhnya Umar membaca sendir. Kata Umar, “Ya maulana, jika tuan hamba mengajar sepuluh kali pun pada hamba, tiada hamba tahu dan tiada dapat hamba mengaji.”Mu’allim itu pun tahulah bahawa Umar Umaiyah terlalu jenaka, lalu diambilnya rotan dipalunya Umar dengan kuat sekali. Tatkal itu tiadalah terdaya lagi Umar, tetapi ditahaninya, tiada mahu ia menangis.” (Hikayat Amir Hamzah, 1987: 39)
Nilai agama yang lain dapat dilihat semasa peperangan. Dalam Islam peperangan hanya akan berlaku disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya bertujuan menegakkan dan memperjuangkan serta membela agama Islam. Selain itu, peperangan dalam Islam juga bertujuan untuk membanteras dan memerangi musuh-musuh Islam. Dalam Hikayat Amir Hamzah, hampir kesemua peperangan bertujuan membanteras musuh-musuh Islam dalam usaha menyebarkan agama Islam oleh Amir Hamzah dan tenteranya.Kesimpulannya, nilai agama yang terkandung dalam Hikayat Amir Hamzah sangat banyak untuk diteliti dan dijadikan panduan serta pengajaran dalam kehidupan seharian kita. Misalnya, sifat takbur yang merupakan sifat yang dibenci oleh masyarakat serta Allah SWT. Oleh itu, kita sebagai penganut agama Islam haruslah sentiasa menerapkan nilai-nilai agama dalam setiap perbuatan kita di dunia sama ada dalam hubungan sosial sesama masyarakat dan sebagainya.
5.2 Nilai-nilai adat yang terkandung dalam Hikayat Amir Hamzah.
Adat ialah peraturan yang sudah diamalkan turun temurun sejak dahulu kala di dalam sesuatu masyarakat sehingga merupakan hukum dan peraturan yang mesti dipatuhi (Kamus Dewan Edisi Ketiga, 1997). Adat yang disebut dalam Hikayat Amir Hamzah ialah seperti berikut;
Apabila Raja Nusyirwan mendengar kata Khoja demikian, baginda pun terlalu murka, seraya berfikir di dalam hati baginda, “Adapun kebinasaan negeriku ini daripada Bakhtik haram zadah inilah juga. Dialah yang menyuruh mengambil ufti negeriku ini dengan aniaya kepada segala orang dusun, membuang adat orang tua-tua.”
(Hikayat Amir Hamzah, 1987: 30)
Merujuk petikan di atas, kita dapat melihat karya agung ini ada menyebut mengenai adat orang tua-tua. Oleh itu, jelaslah bahawa adat diwarisi dari turun-temurun oleh nenek moyang kita. Selain itu, dalam Hikayat Amir Hamzah ini turut menceritakan tentang adat menyembah berhala. Bangsa-bangsa Arab Jahiliah dahulu kala telah mengamalkan adat menyembah berhala. Hal ini disebabkan oleh, masyarakat dahulu tidak lagi menerima wahyu agama Islam. Sekiranya ada yang menerima agama Islam, namun bilangan hanyalah segelintir sahaja. Petikan yang merujuk kepada aktiviti penyembahan berhala yang terdapat dalam hikayat ini ialah seperti berikut;
Kata Umar Umaiyah, “Itulah dia rumah berhala; di dalam rumah itu ada delapan puluh banyaknya berhala emas.”Ujar Amir Hamzah, “Marilah kita lihat berhala-berhala itu.” Maka keduanya pun berjalan menuju rumah berhala itu. Setelah datang ke pintu rumah berhala itu, segala orang yang menunggu rumah berhala itu semuanya takut, masing-masing menyembah Amir Hamzah, kepalanya sampai ke tanah. Kata Amir Hamzah kepada Umar Umaiyah, “Hei Umar, apa baik kita pengapakan berhala-berhala ini?” Sahut Umar Umaiyah, “Ya tuanku, pertma-tama tangkap pergelangan kaki segala orang yang menunggu berhala ini, hempaskan ke bumi.”
(Hikayat Amir Hamzah, 1987: 34)
Berdasarkan petikan di atas, terdapat perkataan klasik, iaitu delapan. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1997), delapan ialah belas sepuluh ditambah lapan (18), puluh hasil darab lapan dan sepuluh (80), ratus hasil darab lapan dan seratus (800). Maksud ujaran Umar Umaiyah ialah dalam rumah berhala itu mungkin mengandungi 18, 80 atau 800 berhala emas.Selain itu, di dalam rumah berhala itu juga mempunyai orang yang menunggu berhala itu. Walaupun adat mereka menyembah berhala, namun mereka tetap menyembah manusia lain. Hal ini bersinonim dengan amalan berkabilah dalam masyarakat Arab jahiliah. Ketua yang berani dan gagah akan disanjung dan dihormati. Oleh sebab perasaan takut akan kehebatan sifat kepahlawanan yang dimiliki oleh Amir Hamzah telah mendorong penunggu rumah berhala untuk menyembah Amir Hamzah. Keadaan ini dapat dilihat dalam petikan di atas yang telah ditebalkan.Justeru, dapatlah disimpulkan bahawa, masyarakat dahulu lagi sudah mengamalkan nilai adat yang tersendiri mengikut edaran zaman mereka. Nilai adat yang dirasakan wajar diteruskan hendaklah diteruskan untuk menjaga dan memelihara adat tinggalan nenek moyang kita. Namun, sekiranya adat itu telah bertentangan dengan nilai agama Islam, maka hendaklah kita meninggalkan adat tersebut kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesan negatif kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
5.3 Nilai-nilai kepahlawanan tokoh Islam, iaitu Amir Hamzah.
Hikayat Amir Hamzah tergolong dalam sastera epik. Epik yang terdapat dalam sesebuah karya itu dapat dilihat melalui perwatakan watak utama seperti kegagahan, menegakkan kebenaran, menegakkan keadilan, memenuhi janji, sifat tolong-menolong, kepimpinan dan kebijaksanaan dan lain-alin. Nilai-nilai kepahlawanan dalam Hikayat Amir Hamzah sangat banyak jika diteliti secara mendalam. Hal ini disebabkan oleh, karya ini berunsur perjuangan dalam menyampaikan jaran Islam. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya berlaku peperangan antara kaum dan bangsa dalam usaha menentang penyebaran Islam. Watak utama yang diceritakan dalam hikayat ini ialah Amir Hamzah yang mempunyai semangat juang yang tinggi selain sangat gagah, berani dalam menempuh segala cabaran dan dugaan dalam usaha menyebarkan syiar Islam semasa zaman kemunculan Islam. Unsur-unsur seperti inilah yang mencirikan bahawa Hikayat Amir Hamzah merupakan sebuah sastera epik kerana pengarang meletakan perwatakan watak utama dengan sifat yang luar biasa. Tokoh wira merupakan tokoh pahlawan yang istimewa dan luar biasa. Tokoh wira merupakan tokoh pahlawan yang istimewa dan menjadi kebanggaan bagi sesuatu bangsa itu. Keistimewaan tokoh dari segi kepahlawanan dicampurkan dengan unsur-unsur mitos, lagenda, cerita rakyat, dan sejarah. Tokoh pahlawan bersifat ‘superhuman’ penuh kehebatan dalam peperangan dan pertempuran dengan musuh-musuh (Penghayatan Karya Agung, 2013: 154-155).
Pada kebiasaannya, watak utama atau tokoh dalam cerita hikayat biasanya terdiri daripada tokoh-tokoh legenda yang mempunyai sifat-sifat atau perwatakan tersendiri seperti berperibadi mulia, sifat kemanusiaan yang tinggi, berani, gagah, mempunyai kuasa ajaib yang menyebabkan watak tersebut dianggap sebagai super human. Hal ini bertujuan untuk menonjolkan sanjungan masyarakat terhadap tokoh berkenaan. Tokoh tersebut selalunya dipandang sebagai sumber yang memancarkan cahaya yang dapat menerangi kegelapan masyarakat setempat. Hikayat Amir Hamzah dianggap sebagai sastera epik daripada sumber Islam, yang secara umumnya menonjolkan watak Amir Hamzah telah berjaya menjadi sanjungan bukan sahaja di kalangan masyarakat Arab, tetapi juga sanjungan itu telah meresap sama ke dalam masyarakat Melayu sejak kedatangan Islam ke rantau ini lagi. Kemasukan cerita-cerita bercorak kepahlawanan Islam ke alam Melayu, khasnya Hikayat Amir Hamzah ini, sebenarnya mempunyai tujuannya yang tersendiri, iaitu untuk meninggikan semangat juang hulubalang-hulubalang Melaka ketika menentang Portugis seperti yang diceritakan dalam Sejarah Melayu.Watak protagonis yang dipegang oleh Amir Hamzah sebagai seorang wira yang mengikut nilai etika seorang Islam dapat dilihat apabila Amir Hamzah digambarkan sebagai seorang wira yang menjadi pembela kepada bangsa-bangsa Arab yang tertindas serta beliau berjuang dalam usaha mendaulatkan agama Islam. Amir Hamzah merupakan seorang wira yang diberikan perwatakan yang gagah perkasa dan selalu berjuang dalam medan peperangan dalam usaha menegakkan kebenaran dan menyebarkan agama Islam. Selain itu, kegagahan Amir Hamzah ini telah digambarkan sejak beliau masih kecil lagi. Buktinya dapat dilihat dalam petikan berikut;
“Hei fudhul!” Ini aku, jikalau engkau pahlawan laki-laki, angkatlah kakiku ini.”Sahut pahlawan Tahir, “Hei kanak-kanak, jangan banyak katamu, itu ada suatu batu mainan tanganku, itu pun besarnya lebih besar daripada engka. Jika engkau hendak melawan aku, angkatlah olehmu dahulu batu itu, kemudian baharullah angkat kakiku olehmu.”Jawab Amir Hamzah, “Hei bebal, aku tiada mahu mengangkat kakimu, engkaulah yang patut mengangkat kakiku dahulu kerana engkau berkata dusta kepada orang banyak ini, mengatakan namamu masyhur pahlawan besar lagi gagah berani. Jika sungguh engkau pahlawan marilah engkau dahulu angkat kakiku ini.”Demi pahlawan Tahir mendengar kata Hamzah demikian itu maka ia pun terlalu marah, lalu berlari-lari datang menangkap kaki Amir Hamzah hendak diangkatnya, tiada dapat; daripada sangat bahana dikuatinya, hingga darah menitik daripada jari-jari tangannya, lalu dilepaskannalah pegangannya daripada kaki Hamzah.
(Hikayat Amir Hamzah, 1987: 36)
Berdasarkan kutipan petikan di atas, dapatlah diketahui bahawa watak Amir Hamzah telah diberikan sifat berani dan gagah sejak kecil lagi. Keberanian dan kegagahan beliau tidak mampu ditandingi oleh orang dewasa walaupun pada ketika itu beliau hanya berusia tujuh tahun.Selain itu, dalam usaha untuk menyebarkan agama Islam, Amir Hamzah dan pengikutnya sering mendapat tentang daripada masyarakat yang enggan menerima Islam. Hal ini disebabkan oleh masyarakat Arab sebelum mempunyai kepercayaan animisme, iaitu kepercayaan yang menganggap bahawa setiap benda mempunyai roh dan roh tersebut memiliki kekuatan ghaib dan mereka menjelmakan roh-roh tersebut dalam bentuk patung-patung sembahan mereka. Mereka enggan menerima bahawa kewujudan Allah yang dinyatakan oleh agama Islam. Oleh itu, berlakulah peperangan antara kaum-kaum Arab jahiliah dengan Amir Hamzah dan tenteranya. Pengarang memasukkan sifat kepahlawanan yang gagah perkasa kepada watak Amir Hamzah ketika berada di medan peperangan. Misalnya;
Sesudah itu seorang lagi saudara Umar Muad Karab bernama Saidyamin tampil ke medan, ia menunjukan tombaknya ke dada Amir Hamzah; tombak itu pun ditangkap oleh Amir Hamzah dapat ke tangannya, lalu dipatahkannya mata tombak itu, batangnya dipegang oleh Amir Hamzah seraya berkata, “Hei kafir, engkau tiada tahu bermain tombak, jika engkau hendak belajar marilah kuajar,” sambil berkata itu, batang tombak itu dimain-main dan diacu-acukan oleh Amir Hamzah, maka mata Saidyamin pun mamang; ketika itu ditombak oleh Amir Hamzah pada pinggangnya, lalu ia gugur ke bumi tunggang balik.
(Hikayat Amir Hamzah, 1987: 78)
Berdasarkan peristiwa di atas, jelas menunjukkan Amir Hamzah merupakan tokoh pahlawan yang mempunyai kemahiran bermain tombak. Kemahiran ini diperlukan oleh seorang pahlawan bagi mempertahankan diri serta penggunaan tombak mampu membantu seorang pahlawan bertindak menyerang musuh dengan jarak yang dekat. Seterusnya, nilai kepahlawanan lain ialah berjuang bagi menegakkan kebaikan serta kebenaran. Dalam ajaran Islam, peperangan hanya bertujuan untuk menegakkan kebaikan dan kebenaran. Misalnya, watak Amir Hamzah yang merupakan pahlawan Islam bertempur dengan musuh-musuh Islam untuk menegakkan kebenaran dan kebaikan. Kebanyakan peperangan yang dihadapi oleh Amir Hamzah, beliau berjuang untuk mengembalikan kuasa pemerintahan kepada yang berhak. Misalnya, Amir Hamzah berjuang untuk mengembalikan hak pemerintahan kerajaan Raja Kisra yang telah dirampas oleh Khartin. Selain itu, Amir Hamzah turut menghapuskan segala bentuk penyelewengan yang berlaku. Perwatakan tokoh keperwiraan dalam Hikayat Amir Hamzah yang seterusnya ialah menegakkan keadilan dalam kalangan masyarakat. Keadaan ini dapat dilihat menerusi perwatakan Amir Hamzah yang mahu membela nasib suku Ajam yang teraniaya menunjukkan sikap Amir Hamzah yang sangat terpuji dan sifat ini sesuai dengan gelaran wira dalam sastera epik berunsur Islam.
Nilai-nilai kepahlawanan tokoh Islam, iaitu Amir Hamzah dapat dilihat menerusi perwatakannya yang mempunyai sifat berpegang pada janji. Agama Islam sendiri telah mengajar umatnya untuk bersikap berpegang kepada janji yang telah dilakukan sama ada janji sesama manusia dan sebagainya. Seseorang yang berpegang teguh kepada janjinya menggambarkan individu itu memiliki sifat yang mulia. Sifat ini perlu dimiliki oleh seorang wira untuk menonjolkan dirinya sebagai seorang wira yang berhati mulia. Misalnya, Amir Hamzah akan sentiasa mematuhi janjinya walaupun beliau terpaksa mengorbankan segala kepentingan dirinya. Peristiwa yang menggambarkan Amir Hamzah menunaikan janjinya yang telah berjanji dengan Kisra dan beliau juga menunaikan segala syarat yang telah dikenakan terhadapnya oleh menteri Bakhtik. Menteri Bakhtik teleh meletak beberapa syarat ke atas Amir Hamzah sekiranya beliau mampu menunaikan syarat yang dikemukakan itu, maka Amir Hamzah akan dapat berkahwin dengan Puteri Muhurkadar.
Kesimpulan
Secara ironinya, nilai-nilai yang terkandung di dalam Hikayat Amir Hamzah ini seperti nilai agama, nilai adat, nilai kepahlawanan terdapat juga nilai-nilai lain yang boleh diteliti. Nilai agama misalnya, memfokuskan kepada ajaran dan larangan dalam agama Islam. Nilai adat pula menceritakan tentang nilai kebudayaan bangsa kita yang telah direkodkan dalam sastera epik berunsur Islam ini. Terakhir, nilai kepahlawanan yang menceritakan tentang sifat-sifat keperwiraan yang sesuai bagai watak Amir Hamzah dalam Hikayat Amir Hamzah. Keperibadian yang mulia lagi terpuji yang terdapat pada watak Amir Hamzah membuktikan bahawa Hikayat Amir Hamzah ini tergolong dalam sastera epik tetapi berunsur keislaman. Hal ini disebabkan oleh, kehebatan tokoh pahlawan ditonjolkan apabila wira tersebut berperang dalam usaha menyebarkan agama Islam. Oleh itu, karya ini digolongkan dalam sastera epik Islam.
Bibliografi
A. Samad Ahmad. (1987). Hikayat Amir Hamzah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abu Hasan Sham. (1993). Sastera Epik dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan Edisi Ketiga. (1997). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Hawa Haji Salleh. (1987). Cendekia Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. http://jejakmihrabmimbar.wordpress.com/2010/02/22/pertembungan-tamadun-dalam-hikayat-amir-hamzah/

bottom of page