top of page

 

HIKAYAT INDERAPUTRA

 

Sinopsis

 

Hikayat Inderaputera mengisahkan perihal seorang putera yang bernama Inderaputera kepada Maharaja Bikrama Buspa yang memerintah negeri Samantapuri. Kelahirannya yang telah lama ditunggu-tunggu oleh ayahanda dan bondanya disambut dengan bunyi-bunyian dan penuh dengan adat istiadat. Ahli nujum datang untuk menilik nasib putera itu. Ahli nujum itu menyatakan bahawa pada usia Inderaputera tidak patut dibiarkan bermain bersama binatang kerana takut bencana akan menimpanya. Inderaputera juga diramal akan menjadi maharaja yang besar dan disegani oleh kawan mahupun lawan.

 

Tilikan ahli nujum itu menjadi kenyataan dan Inderaputera telah diterbangkan oleh Merak Emas yang dihasilkan oleh pembawa ufti yang datang ke istana Maharaja Bikrama Buspa. Inderaputera jatuh ke kebun bunga seorang nenek kebayan yang tidak mempunyai saudara-mara. Setelah melihat akan keelokan rupa Inderaputera, nenek kebayan menjadi sayang kepada Inderaputera lalu menjaga Inderaputera bagaikan menatang minyak yang penuh. Inderaputera juga menjadi rapat dengan nenek kebayan tersebut. Selama Inderaputera tinggal dengan nenek kebayan ini, kebun bunga nenek kebayan subur dan lebat. Nenek kebayan mendapat untung yang banyak daripada hasil jualan bunga.

 

Suatu hari nenek kebayan pergi menjual bunga kepada Perdana Menteri negeri tersebut. Nenek kebayan membawa bersama Inderaputera. Apabila Perdana Menteri itu melihat keelokan wajah Inderaputera, beliau dapat mengagak bahawa Inderaputera adalah anak keturunan besar-besar kerana tingkah lakunya dan sinar wajahnya yang menggambarkan kebesaran dan kemuliaannya. Oleh kerana Perdana Menteri tidak mempunyai anak, maka Perdana Menteri menganjurkan supaya Inderaputera tinggal bersamanya pada waktu siang dan pada waktu malam pula kembali bersama nenek kebayan.

 

Raja Shahian merupakan raja di negeri tersebut yang sangat inginkan anak. Maka disuruhnya Perdana Menteri supaya membuat pengumuman untuk bertanya kepada rakyat jika ada di antara mereka yang tahu tentang ubat untuk kehamilan. Ada diceritakan bahawa di Gunung Mali Kisna. Ada seorang maharishi bertapa pada gunung ini yang bernama Berma Sakti. Namun untuk pergi ke tempat itu, amat sukar dan dipenuhi dengan cabaran yang amat susah untuk dilalui oleh orang biasa.

 

Apabila Inderaputera melihat bapa angkatnya ( Perdana Menteri) sugul memikirkan masalah Raja Shahian, Inderaputera menawarkan diri untuk pergi mencari Berma Sakti ini. Perdana Menteri berat hati untuk melepaskan Inderaputera pergi namun Inderaputera tetap berkeras juga. Akhirnya, Perdana Menteri terpasa mempersembahkan Inderaputera kepada Raja Shahian. Raja Shahian berjanji jika baginda mendapat anak lelaki, akan dijadikan saudara kepada Inderaputera, dan sekiranya baginda mendapat anak perempuan, akan dijadikan isteri kepada Inderaputera. Bermula pada hari itu, Inderaputera pun merantau ke merata-rata tempat untuk mencari ubat beranak ini. Dalam pengembaraannya, Inderaputera berpeluang melihat dan mengutip pelbagai pengalaman. Inderaputera turut berjumpa dengan pelbagai kerajaan dan bersahabat dengan pemerintah-pemerintah di sana. Keseluruhan cerita Hikayat Inderaputera mengisahkan perjalanan hidup Inderaputera sepanjang pencariannya untuk mendapatkan ubat itu.

 

Setelah bertahun-tahun lamanya bersusah-payah untuk mengotakan janjinya kepada Raja Shahian, akhirnya Inderaputera pulang mempersembahkan ubat itu kepada Raja Shahian. Kedatangan Inderaputera setelah bertahun-tahun lamanya merantau menggembirakan bapa angkatnya dan Raja Shahian, namun mengundang rasa sakit hati dan cemburu menteri-menteri yang menjadi penasihat Raja Shahian. Mereka telah cuba untuk menfitnah Inderaputera dan membunuhnya. Pelbagai cubaan dan dugaan terpaksa Inderaputera hadapi sebelum dia dapat dijodohkan dengan Puteri Mengindera Seri Bulan, iaitu puteri Raja Shahian hasil daripada ubat yang dicari oleh Inderaputera. Akhirnya, Inderaputera dikahwinkan dengan Puteri Mengindera Seri Bulan yang turut jatuh cinta dengan ketampanan dan kebesaran Inderaputera.

 

Nilai-nilai sosial

 

1. Nilai Kebijaksanaan

 

Terdapat banyak nilai sosial yang dapat diperolehi dalam Hikayat Inderaputera. Antaranya ialah nilai kebijaksanaan. Hal ini demikian kerana, nilai kebijaksanaan dapat dilihat pada watak Inderaputera itu sendiri yang berjaya menewaskan gergasi yang bernama Mamdu dengan menggunakan kebijaksanaannya.Selain itu, ialah nilai kasih sayang. Nilai kasih sayang dalam Hikayat Inderaputera dapat dilihat melalui watak Maharaja Bikrama Buspa yang begitu sayangkan anakandanya iaitu Inderaputera.

 

       Contohnya :

 

            “ Hatta setelah berapa lamanya maka anakanda baginda Inderaputera pun besarlah, maka disuruhkan baginda kepada  mualim disuruh ajar mengaji. Setelah berapa lamanya kira-kira tujuh tahun umur Inderaputera, maka Inderaputera pun tahulah mengaji Qur’an.Maka Maharaja Bikrama Bispa pun mangkin sangat kasihnya akan anakanda baginda Inderaputera, seketika pun tiada dapat bercerai karena baginda sangat memeliharakan pesan ahlinnujum; dan jika baginda diadap segala raja-raja dan menteri hulubalang sekalian pun anakanda itu tiada bercerai dengan baginda”.

 

                                                                                                                                               ( Hikayat Inderaputera : 5)

 

Berdasarkan petikan di atas, ia jelaslah menunjukkan nilai kasih sayang yang ditunjukkan oleh Maharaja Bikrama Bispa terhadap Inderaputera yang mana baginda tidak boleh berpisah dengan Inderaputera di samping mendengar ramalan ahli nujum.

 

2. Nilai Pemurah.

 

Disamping itu, nilai pemurah. Nilai tersebut ditunjukkan oleh Maharaja Bikrama Buspa yang menganugerahkan sepersalinan kepada setiap ahli nujum yang datang menilik nasib anaknya.

 

         Contohnya :

 

             “ Setelah Maharaja Bikrama Bispa mendengar sembah segala ahlunnujum itu demikian maka Maharaja Bikrama Bispa memberi anugerah akan segala ahlunnujum dan sasterawan itu, dan memberi anugerah akan segala fakir dan miskin, dan memberi persalin akan segala raja-raja dan menteri dan hulubalang sekalian dan orang kaya-kaya. Maka baginda menyuruh memalu  bunyi-bunyian, makan minum empat puluh hari empat puluh malam, bersuka-sukaan dengan segala raja- raja dan menteri hulubalang dan orang kaya-kaya sekalian”.

 

                                                                                                                                                               (Hikayat Inderaputera : 5)

3. Nilai Kejujuran

 

Seterusnya , ialah nilai kejujuran. Ia dapat dilhat bagaimana Inderaputera berlaku jujur dengan menerangkan asal usulnya dan bagaimana dia boleh berada dalam kebun Nenek Kebayan.

 

         Contohnya :

 

              Maka ujar nenek kebayan, “ Anak siapa engkau dan dari mana mana engkau datang masuk ke mari, karena pintu  kebunku terikat juga dan tempatku ini jauh daripada rumah orang banyak. Dari mana jalanmu masuk ke mari?”

 

             Maka ujar Inderaputera, “ Hai nenekku, akulah yang bernama Inderaputera anak Maharaja Bikrama Bispa. Adapun maka  sebab aku datang ke mari, karena aku diterbangkan merak emas.” Maka diceritakannya segala halnya semuanya kepada nenek kebayan.

 

                                                                                                                                                              ( Hikayat Inderaputera : 8)

 

Oleh itu, berdasarkan petikan di atas yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera, ia jelas menunjukkan bahawa nilai kejujuran yang diperlihatkan oleh watak Inderaputera yang telah jujur menceritakan bagaimana beliau boleh berada di dalam kebun nenek kebayan tersebut.

 

4. Nilai Keberanian

 

Selain itu, nilai keberanian juga terdapat dalam Hikayat Inderaputera. Hal ini dapat dilihat apabila Inderaputera yang merupakan seorang yang berani dan gagah perkasa Berjaya membunuh ular mamdud dan juga membunuh Gur Akas. Antara petikan yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera yang menunjukkan nilai keberanian Inderaputera ialah :

 

           “Sebermula ialah yang disuruhkan oleh Raja Syahsyian kepada Berma Sakti, dan ialah yang diterbangkan merak emas, dan ialah yang berjalan dalam hutan belantara seorang dirinya, beberapa ia melalui gunung yang besar-besar dan bertemu dengan Tasik Samudera, dan ialah yang bertemu dengan Tuan Puteri Kemala Ratnasari, dan ialah yang beroleh kemala hikmat, dan ialah yang mengadap Berma Sakti dengan Raja Dewa Lela Mengerna, dan ialah yang diterbangkan jin yang bernama Tamar Boga, dan ialah yang yang bertemu dengan bukit permata, dan ialah yang bertemu dengan Tasik Bharul Ajaib, dan ialah yang bertemu dengan Tasik Bahrul Asyik, dan ialah yang berjalan pada jalan yang tiada dijalani orang, demikianlah gagah perkasa Inderaputera, dan ialah berjalan dalam guha sebulan lamanya, dan ialah yang membunuh ular mamdud. Syahdan ialah membunuh Gur Akas, mati dalam tangan Inderaputera, dan betapa hikmat Raja Tulela Syah hendak membunuh Gur Aka situ tiada juga dapat dibunuhnya, maka dapat dibunuh oleh Inderaputera dengan diparangnya”.

                                                                                                                                                         

                                                                                                                                                                ( Hikayat Inderaputera : 3)

5. Nilai Kepercayaan

 

Di samping itu, nilai sosial yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera juga ialah kepercayaan terhadap ilmu firasat atau ramalan. Hal ini dapat dilihat berdasarkan petikan berikut ;

 

           “ Maka Maharaja Bikrama Bispa menyuruh memanggil segala ahlunnujum dan sasterawan. Maka setelah datang segala                      ahlunnujum, maka Maharaja Bikrama Bispa memberi titah pada segala ahlunnujum, “ Betapa peri kebesaran anakku ini?”, maka segala ahlunnujum pun melihat nujumnya dan mengerakkan kepalanya. Maka sembah segala ahlunnujum, “ Ya tuanku Syah Alam, terlalu sekali berbahagia paduka anakanda itu dan memangku kerajaan yang maha besar. Adapun tujuh tahun juga paduka anakanda itu dapat bersama-sama dengan tuanku. Kemudian dari itu bercerailah paduka anakanda dengan tuanku, beberapa paduka anakanda itu melihat kekayaan Allah Subhanahu wa ta’ala Tu(h)an yang Maha Tinggi; dan jangan  paduka anakanda itu tuanku beri bermain binatang, karena sebab paduka anakanda bermain binatang itu jadi beroleh   bencana, bercerai dengan duli tuanku”.

 

                                                                                                                                                                 ( Hikayat Inderaputera : 4)

 

Berdasarkan petikan di atas ia dapat membuktikan bahawa terdapat unsur kepercyaan terhadap ilmu firasat atau ramalan. Hal ini demikian kerana, daripada petikan di atas ia menunjukkan bahawa Maharaja Bikrama Bispa percaya akan ramalan yang dilakukan oleh ahlunnujum tersebut dan baginda tidak berpisah dengan Inderaputera kerana takut akan kehilangan anak kesayangannya.

 

Kesimpulan

 

Kesimpulannya, terdapat banyak nilai-nilai sosial yang terkandung dalam Hikayat Inderaputera. Nilai-nilai tersebut kebanyakannya berkait rapat dengan kehidupan seharian dan merupakan nilai yang boleh dijadikan teladan. Misalnya, seperti nilai kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya, nilai kejujuran dan banyak lagi.

 

bottom of page