top of page

Pemikiran Tun Sri Lanang dalam karya Sulalatus Salatin

Tun Sri Lanang merupakan tokoh kesusasteraan yang terulung pada suatu ketika dahulu. Karya teragung beliau ialah Sulalatus Salatin yang memuatkan pemikiran beliau yang kreatif sejajar dengan kehidupan pada zaman tersebut. Karya Sulalatus Salatin ini mengandungi pelbagai sejarah masyarakat Melayu, Jawa, Brunei, Patani dan Campa. Sulalatus Salatin merupakan sebuah karya yang banyak menceritakan tentang sejarah bangsa-bangsa di Nusantara. Dalam hasil pengarangan beliau, pelbagai peristiwa atau sejarah bangsa yang dimuatkan di dalam karya tersebut termasuklah yang berunsurkan salasilah raja-raja, kisah kepahlawanan, sejarah, humor atau jenaka, kisah-kisah cinta dan kasih sayang yang berunsur magis dan sebagainya. Kesemua kisah-kisah ini telah dirakamkan dan disampaikan mesejnya kepada pembaca melalui gambaran dan imaginasi yang tinggi.

            Dalam karya ini juga, Tun Sri Lanang menggunakan pelbagai bahasa, misalnya bahasa Arab dan Jawa yang menggambarkan kelebihan beliau sebagai individu yang mampu menguasai lebih daripada satu bahasa. Selain itu, penulisan Tun Sri Lanang juga ada menggambarkan tentang kehidupan masyarakat pada zaman dahulu kala yang boleh dijadikan contoh dan tauladan untuk masyarakat Melayu pada masa ini. Dalam Sulaltus Salatin ini juga dapat dilihat bukti keagungan masyarakat Melayu dari zaman dulu lagi yang kini menjadi warisan dan tinggalan buat masyarakat kini serta menjadi bukti keagungan Melayu sejak dahulu lagi. Perkara ini terbukti apabila terciptanya ratusan puisi, drama, lukisan dan karya sejarah yang tercetus hasil daripada karya Sulalatus Salatin serta dapat juga dilihat banyak yang diterjemahkan ke dalam bahasa lain seperti bahasa Inggeris, Rusia dan Jerman

 

Pemikiran Raja Ali Haji dalam Bustan al-Katibin

Bustan al-Katibin merupakan salah satu karya penulisan Raja Ali Haji yang jauh berbeza dengan karya-karyanya yang lain. Hal ini demikian kerana, karya ini lebih menjurus kepada aspek bahasa atau nahu dan bukannya cerita sejarah seperti Thufat al-Naffis. Dalam bahagian besar kitab ini, beliau bukan sahaja menjelaskan tentang analisis ilmu bahasa tentang bahasa tersebut, tetapi beliau juga mementingkan perkara-perkara seperti nilai ilmu pengetahuan. Dalam bahagian pengenalannya, ada diselangi dengan ungkapan-ungkapan Arab yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Hal ini jelas menunjukkan bentuk yang digunakan dan dianjurkan oleh beliau terutama sekali dalam menulis warkah kiriman. Kemudian, dengan menggunakan bahasa Arab, ada disebutkan nama pengarang dan tujuan beliau menulis sebuah buku tentang bahasa dengan terjemahan bahasa Melayu.

Di samping itu, kitab atau karya ini juga merupakan suatu percubaan bagi menganalisis bahasa Melayu dengan menggunakan pelbagai peraturan ilmu bahasa dan nahu bahasa Arab yang telah digunakan bagi mencapai matlamat tersebut. Hal ini demikian bukan sahaja disebabkan beliau seorang yang fasih berbahasa Arab, tetapi juga kerana bahasa Melayu itu sendiri terutamanya dalam bentuk tulisannya telah banyak dipengaruhi oleh penggunaan bahasa Arab.

Raja Ali Haji juga dianggap sebagai pujangga bercorak klasik yang terakhir dan fakta ini ada digambarkan dalam Bustan al-Katibin. Beliau memperkenalkan suatu unsur baru dalam dunia persuratan Melayu dengan mencuba sistem penggunaan nahu untuk bahasa ini serta mempertahankan gaya bahasa klasik. Kesimpulannya, kitab Bustan al- Katibin masih lagi mewakili pandangan dunia yang bercorak klasik berhubung penggunaan bahasa walaupun percubaan menyelesaikan suatu nahu untuk bahasa Melayu itu sendiri merupakan suatu perubahan baharu.

           

Pemikiran Mohd Rashid Idris dalam Teori Falsafah Bahasa

Teori Falsafah Bahasa diasaskan oleh Mohd Rashid Md Idris yang mengetengahkan satu bentuk rajah iaitu bulatan, anak panah (dua hala) dan garisan putus-putus beserta dengan huraian berkaitan rajah. Teori ini dihasilkan gandingan Teori Relatif dan Teori Kenuranian Bahasa. Gabungan teori-teori ini mewujudkan satu titik pertemuan antara pemikiran barat dengan pemikiran Islam kemudian daripada kesepaduan teori-teori ini lahirlah Teori Falsafah Bahasa. Dalam teori ini, kesempurnaan kegiatan berbahasa dapat dicapai dengan mengambil kira tiga prinsip iaitu berbahasa mengikut nahunya, berbahasa untuk menyampaikan maklumat dan yang terakhir ialah berbahasa bertujuan ibadat atau mentauhidkan Allah. Prinsip yang pertama, kita haruslah berbahasa mengikut nahunya agar maksud yang hendak disampaikan mencapai objektifnya. Prinsip yang kedua, berbahasa untuk menyampaikan maklumat atau fakta yang betul dan benar.

Bentuk bulatan menggambarkan perlunya kita berbahasa secara sempurna atau (komprehensif) bukan sahaja dari segi nahunya, namun kesempurnaan juga perlu meliputi aspek makna dan tujuannya. Bentuk ini turut menggambarkan peranan bahasa yang dapat memberikan gambaran keseluruhan tentang kehidupan orang Melayu manakala bulat juga menggambarkan agama orang Melayu yakni Islam yang perlu diamalkan secara menyeluruh dan bukan sekadar mengambil sebahagiannya sahaja. Kitaran hidup manusia jika dilihat dari segi budaya ibarat sebuah roda yang ada ketikanya manusia berada di atas dan ada masanya mereka berada di bawah. Begitu juga dengan kitaran usia manusia yang mana mereka bermula daripada keadaan tidak mengetahui apa-apa seterusnya mengetahui banyak perkara namun akhirnya kembali kepada keadaan tidak mengetahui apabila seseorang itu telah nyanyuk.

Rajah anak panah (dua hala) menunjukkan hubungan langsung antara penutur dan pendengar (hubungan sesama manusia). Dalam hal ini, antara mereka akan berlakunya keadaan saling menghantar maklumat dan maklum balas supaya kegiatan berbahasa itu aktif dan memenuhi keperluan bersama. Garisan putus-putus pula menunjukkan wujudnya hubungan secara abstrak (tersirat) antara manusia dengan Allah selaku Pencipta. Dalam hubungan ini, Allah telah menganugerahkan banyak perkara kepada hamba-Nya. Antara anugerah terbesar yang diberikan oleh Allah ialah kejadian diri manusia itu sendiri (Allah menciptakan Adam dan anak juga adalah anugerah Allah) sehinggakan manusia itu dapat mengecap kenikmatan dunia, anugerah akal untuk berfikir dan anugerah bahasa (alat-alat pertuturan dan Allah mengajarkan nama-nama kepada Adam). Kesimpulannya, Teori Falsafah Bahasa cuba mengetengahkan suatu situasi yang lebih jelas tentang perlunya seseorang itu menggunakan alat-alat artikulasi yang dikurniakan Allah dengan betul. 

bottom of page