




KARYA AGUNG MELAYU IALAH KARYA YANG MELAMBANGKAN KEUNGGULAN DAYA CIPTA SENIMAN, PENULIS DAN PEMIKIR BANGSA MELAYU DALAM MENGGAMBARKAN IDEALISME, NILAI, PANDANGAN HIDUP, ADAT, BUDI, KESEDARAN MORAL DAN VISI BANGSA DAN MASYARAKATNYA MELALUI BENTUK SASTERA DAN SENI YANG TINGGI NILAINYA SEHINGGA KESAN SENI, BUDAYA DAN FALSAFAH KEKAL SEPANJANG ZAMAN DALAM MINDA KOLEKTIF BANGSA MELAYU.
Karya agung ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Dalam setiap karya agung Melayu itu sendiri terkandung pelbagai nilai dan pengajaran yang sangat berguna kepada masyarakat umumnya dan khasnya kepada golongan remaja.
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1997), nilai ialah darjat, kualiti, mutu, taraf, sifat ketinggian pemikiran, agama, kemasyarakatan dan lain-lain. Dalam karya agung Melayu nilai-nilai seperti baik hati, berhemah tinggi, kasih sayang, keadilan, kebenaran, kerjasama, rasional dan banyak lagi. Generasi muda boleh mengambil nilai-nilai ini dengan cara mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Misalnya, dalam karya Hikayat Hang Tuah menceritakan tentang kehebatan dan keberanian Hang Tuah. Oleh itu, mereka boleh mempraktikkan dalam kehidupan dengan bersikap berani menempuh dugaan dan cabaran hidup bukannya berani dalam erti kata melakukan gengsterisme.
Seterusnya, cara generasi muda mengambil nilai-nilai dengan menjadikan nilai sebagai panduan hidup. Misalnya, dalam Hikayat Malim Deman mengisahkan tentang Malim Deman seorang yang gagah perkasa dan bijak. Hal ini disebabkan oleh beliau telah mempelajari ilmu-ilmu keduniaan dan akhirat. Justeru, golongan muda menjadikan nilai rajin menimba ilmu sebagai panduan hidup untuk menjadikan mereka seorang yang bijak dan. Sekiranya generasi muda tidak belajar dan menimba ilmu, mereka akan bodoh dan mudah untuk dipermainkan oleh golongan bijak pandai.
Pengajaran pula diertikan sebagai sesuatu yang boleh dijadikan peringatan atau pedoman. Setiap penulisan kreatif mengandungi pengajaran yang tersendiri. Kata kunci yang digunakan untuk merujuk kepada pengajaran ialah usahlah, janganlah, mestilah, haruslah dan sebagainya. Misalnya, pengajaran yang terkandung dalam Hikayat Malim Kundang yang boleh dijadikan sebagai peringatan kepada generasi muda supaya tidak menderhakai ibu mereka. Hal ini disebabkan oleh, doa dan restu ibu sangat diperkenankan oleh Allah dan doa ibu sering dimakbulkan. Oleh itu, generasi muda boleh mengambil pengajaran yang terdapat dalam karya sebagai pedoman hidup.
Kesimpulannya, nilai dan pengajaran yang terkandung dalam karya agung sangat banyak untuk diambil dan digunakan sebagai panduan hidup, peringatan, pedoman dan sebagainya.
